TOKYO - Seorang remaja di Jepun ditahan dalam kejadian tikaman rambang melibatkan dua individu di ibu kota pada akhir minggu lalu.
Jurucakap polis berkata, suspek memberitahu serangan itu adalah 'latihan' untuk membunuh ahli keluarganya sendiri.
Iklan
Iklan
"Saya menikam mereka kerana untuk mengetahui sama ada saya boleh membunuh orang," kata remaja perempuan berusia 15 tahun itu ketika disoal siasat pihak berkuasa.
Difahamkan, suspek dari Toda, wilayah Saitaman ditahan di lokasi kejadian selepas disyaki cuba membunuh seorang wanita berumur 53 tahun dan anak perempuannya yang berusia 19 tahun di Shibuya.
Sumber polis mengesahkan gadis itu juga menyatakan tujuan dia menyerang kedua-dua mangsa kerana mahu dijatuhi hukuman mati.
Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati gadis berkenaan menghampiri anak-beranak tersebut ketika mereka sedang berjalan di sebuah jalan sempit di bandar itu sebelum bertindak menikam mangsa dengan pisau dapur.
Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat tikaman tersebut termasuk luka sedalam kira-kira 10 sentimeter. - Agensi