Malaysia mahu belajar dari Thailand guna ganja untuk perubatan

Iklan
Khairy Jamaluddin

BANGKOK - Malaysia berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis atau ganja terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.

Iklan
Iklan

"Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul, di sini, Selasa.

Khairy sedang mengadakan lawatan kerja empat hari atas undangan Anutin, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.

Iklan

Terdahulu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.

Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.

Iklan

Khairy berkata, beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis.

"Saya turut meminta Anutin untuk mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah,” katanya.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin yang telah mempelawa untuk mengetahui potensi penggunaan kanabis dan ketum serta kerangka kerja undang-undang untuk kegunaan perubatan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anutin dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang telah berjaya mengubah kanabis menjadi sesuatu yang membawa manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat Thailand,” katanya.

Beliau berkata, penanaman kanabis menawarkan sumber pendapatan baharu untuk petani dan orang ramai.

Apabila ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk membenarkan penggunaanya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata"jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya”.

"Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.

"Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan," katanya.

Beliau berkata, langkah Thailand dalam menerajui usaha membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan ialah contoh yang baik di rantau ASEAN dengan negara anggota lain boleh menggunakan data yang ada bagi merangka dasar.

Sementara itu, Anutin berkata, beliau berharap dapat berkongsi pengalaman Thailand dalam perubatan kanabis dengan Khairy dan Malaysia.

Anutin juga berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya tentang proses membenarkan kanabis dalam perubatan.

Terdahulu, Khairy melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, untuk mempelajari amalan terbaik dalam pelancongan perubatan. - Bernama.