Tolonglah bela nasib nelayan darat

Iklan
Lebih 75 nelayan darat yang berdaftar menggunakan jeti nelayan Sungai Galah, Kampung Gajah untuk menjual hasil tangkapan.

MASALAH sungai yang semakin cetek dan kekurangan populasi ikan air tawar menjejaskan punca pendapatan bagi nelayan darat.

Nelayan, Mat Jamal Harun, 61, berkata, keadaan Sungai Kinta di Kampung Gajah, Pasir Salak yang cetek menyebabkan dia tidak dapat turun untuk menjala ikan.

Iklan
Iklan

"Saya terpaksa tunggu hujan kerana paras air mulai dalam barulah bot kami dapat melepasi timbunan pasir tetapi sampai bila, keadaan cuaca pun tidak menentu.

"Saya minta pihak berkaitan dapat bantu korek pasir di sungai ini bagi dalam sikit. Purata pendapatan dianggarkan RM1,000 sebulan dan cukuplah untuk menampung keluarga. Kini sudah dua bulan tiada pendapatan,” katanya.

Iklan
Hasil tangkapan nelayan darat akan dijual kepada peraih.

Bagi Shuhaimi Abdul Sukor, 45, kurangnya aktiviti melepaskan benih anak ikan menyebabkan populasi ikan air tawar semakin berkurangan.

Dia yang baharu bergiat sebagai nelayan darat turut bimbang dengan aktiviti perlombongan dan penerokaan berhampiran perairan yang akan mengurangkan hasil tangkapan.

Iklan

"Kami yang baharu dalam pekerjaan ini tidak sama dengan ‘otai’ yang tahu selok-belok sungai atau lubuk-lubuk ikan. Bila ada aktiviti perlombongan, penjelajahan dan sebagainya, air sungai menjadi keruh dan ikan berkurangan.

"Dalam meluluskan projek berunsurkan hasil bumi, kerajaan perlu melihat kesannya kepada rantaian makanan bukan sahaja nelayan malah penternakan dan pertanian. Sekuriti makanan memang sudah menjadi agenda utama negara ketika ini,” jelasnya.

Nelayan menunjukkan paras air Sungai Kinta yang cetek disebabkan timbunan pasir hingga menyukarkan bot untuk keluar bagi aktiviti menangkap ikan.

Nurul Azmi Mohamed Daud, 36, pula berkata, isu pembuangan sampah di sungai memburukkan lagi keadaan menyebabkan nelayan semakin sukar untuk menangkap ikan di sungai-sungai sekitar Kampung Gajah.

Ujarnya yang mengambil alih pekerjaan itu dari bapa sejak 11 tahun lalu, isu membabitkan pencemaran tidak pernah selesai tambahan dengan adanya aktiviti pengambilan pasir lombong yang dipercayai beroperasi di Sungai Chenderiang.

"Jaring sering terkena botol plastik, kayu balak, kelapa dan sebagainya itu biasa tetapi boleh merosakkan pukat.

"Harga dikenakan peraih turut memainkan peranan dalam menentukan pendapatan kami. Apabila berlaku lambakan ikan, sudah tentu kami mengalami kerugian namun ia bergantung pada musim. Jadi, satu cara baharu perlu difikirkan untuk bantu kami,” tambahnya yang bekerja untuk menampung ahli keluarga yang ramai.

Gesaan untuk mewartakan kawasan perikanan darat sering diajukan oleh Persatuan Perikanan Air Tawar (Peniat) agar dapat menjamin kelangsungan hidup ahli MyKomuniti Perikanan (MyKP) di Sungai Galah, Kampung Gajah.

Yang Dipertua Peniat, Sairul Nizam Mohamad Salleh berkata, akibat tiada pewartaan khusus kawasan perikanan darat boleh menimbulkan konflik kepentingan pihak yang terlibat.

"Isu ini bukanlah baharu dan sering disuarakan sejak lima tahun lalu namun kami umpama berurusan dengan pihak yang pekak dan bisu apabila tiada keputusan dicapai sehingga kini.

"Apabila sudah diwartakan ia akan meminimumkan penerokaan kawasan perikanan dan kami mudah mencari dana untuk bersihkan tumbuhan akuatik seperti keladi bunting dalam melestarikan kawasan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak bertanggungjawab perlu melihat keperluan meluluskan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang akan merosakkan ekosistem sedia ada.

Jeti nelayan darat di Sungai Galah, Kampung Gajah antara yang menjadi tumpuan pendaratan ikan air tawar di daerah Perak Tengah.

"Apabila terdapat kawasan perlombongan berhampiran sungai, akses nelayan ke kawasan perairan akan jadi terhad seperti kes di Kampung Air Kuning pada tahun lalu apabila papan tanda ‘penceroboh akan didakwa’ diletakkan sekali gus menghalang penduduk untuk cari makan.

"Negara kini memerlukan gandaan bekalan makanan dan seharusnya sektor ini diperkasakan serta bukannya mewujudkan aktiviti perlombongan yang memberi impak terhadap alam sekitar,” katanya.

Sairul Nizam berkata, cadangan pemuliharaan kawasan perikanan dilihat dapat meningkatkan hasil tangkapan.

"Mata pencarian mereka bukan bergantung kepada sungai malah lombong sekali. Kawasan ini mempunyai 25 lombong seluas 560 hektar yang menghubungkan Sungai Kinta.

"Lombong ini berfungsi sebagai lokasi ikan membiak sebelum berenang ke sungai tetapi laluan ini telah ditutup oleh pembetung malah ada saliran tersekat kerana tidak diselenggara dengan baik oleh jabatan terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, konsep kelestarian alam sekitar adalah pemuliharaan dan bukannya sudah musnah baru hendak ambil tindakan.

Wartakan kawasan perikanan darat Nelayan darat atau nelayan air tawar merupakan sebahagian kecil komuniti di negara ini yang memerlukan perhatian daripada kerajaan.

Bekas lombong dan jaringan sungai di Perak merupakan kawasan perairan umum penting bagi sektor ini malah lebih 3,000 tan ikan sungai didaratkan dengan nilai RM45 juta dicatatkan pada tahun 2020.

Daerah Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar mencatatkan jumlah nelayan darat tertinggi namun pengabaian kelestarian alam sekitar telah menjejaskan pendapatan komuniti berkenaan.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Noor Ainon Mohamed Yusof yang menyelami isi hati mereka.