KIEV - Konflik Ukraine-Rusia kini telah bertukar menjadi kempen serangan udara harian dan pertempuran tiada kesudahan selepas Moscow melancarkan pencerobohan blitzkrieg (taktik serangan kilat) ke atas Kiev yang sudah berlarutan selama enam bulan.
Sebahagian besar kawasan timur dan selatan Ukraine kini berada di bawah kawalan Rusia termasuk pelabuhan Laut Hitam yang menjadi nadi penting kepada ekonomi Kiev.
Moscow turut terkesan dengan siri sekatan yang dikenakan Barat, namun ia enggan menghentikan operasi ketenteraan berskala besar tersebut malah tentera Rusia terus mara untuk menguatkan lagi cengkaman mereka di bawah arahan 'Tsar' moden, Presiden Vladimir Putin.
Kedua-dua pihak bertelagah tersebut mengakui kerugian besar termasuk kehilangan harta-benda dan banyak nyawa tidak berdosa akibat konflik tersebut.
Puluhan ribu orang dilaporkan terkorban dan jutaan penduduk menjadi pelarian selain kemusnahan dahsyat infrastruktur di Kiev yang kini berdepan ancaman kebocoran radiasi susulan serangan yang semakin diperhebatkan di kawasan berhampiran kompleks Zaporizhzhia yang merupakan kemudahan nuklear terbesar di Eropah.
Selain itu, komuniti antarabangsa turut terkesan dengan krisis keselamatan makanan global susulan sekatan yang dikenakan Moscow ke atas import bijirin dari Ukraine beberapa bulan lalu.
Tetapi, Moscow atau Kiev nampaknya masih belum bersedia untuk melaksanakan gencatan senjata walaupun banyak pihak cuba menjadi perantara rundingan damai.
"Rakyat Ukraine percaya mereka berhak untuk terus berjuang mempertahankan tanah air mereka walaupun dianggap sebagai 'kesilapan sejarah' oleh Putin. Dalam situasi sedemikian, tiada pihak akan menang.
"Operasi ketenteraan ini boleh berlarutan selama beberapa tahun lagi. Rusia berharap matlamat utama mereka berjaya dan nasib seakan-akan tidak menyebelahi Ukraine dan ekonomi negara itu," kata penganalisis politik berpusat di Moscow, Konstantin Kalachev.
Berlarutan sehingga 2023?
Sementara itu, Pengarah di Majlis Hubungan Luar Eropah, Marie Dumoulin berpendapat sokongan padu daripada sekutu Barat kepada Ukraine termasuk penghantaran bantuan bekalan senjata akan menyukarkan kedua-dua belah pihak untuk mengalah.
"Mereka masih melihat pilihan ketenteraan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terutamanya selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang tidak henti-henti meminta bantuan Barat.
"Jadi, tidak mungkin konflik itu akan berakhir dalam masa terdekat dan berlarutan sepanjang musim sejuk atau sehingga 2023," ujarnya.
Peperangan itu kini tertumpu di kawasan selatan setelah Kiev berikrar untuk menguasai semula wilayah terbesar itu yang dirampas Rusia.
Data terbaharu didedahkan Ketua Komander Ukraine, Valeriy Zaluzhny mendapati hampir 9,000 tentera Ukraine terbunuh sejak konflik itu tercetus pada 24 Februari lalu.
"Kanak-kanak di Kiev kini memerlukan perhatian khusus kerana bapa mereka mungkin antara wira negara yang gugur di medan perang," ujarnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar tentera Rusia yang terkorban dalam konflik itu masih tidak diketahui sejak kali terakhir Kremlin mengeluarkan data tersebut pada akhir Mac lalu.
Sehingga 11 Ogos lalu, Kiev menganggarkan konflik tersebut telah meragut kira-kira 43,000 nyawa tentera musuh.
Persoalannya, sampai bilakah krisis Rusia-Ukraine akan berterusan atau adakah ia berisiko merebak ke negara Eropah lain yang dikhuatiri akan mencetuskan peperangan lebih besar? - Agensi