'Harga donat masih 10 sen sebiji'

Iklan
Idham Syafiq Darmilus, 34, masih mengekalkan menjual donat dengan harga 10 sen sebiji.

KUALA TERENGGANU –"Harga donat saya tidak berubah, masih dijual 10 sen sebiji,” kata Idham Syafiq Darmilus, 34, yang menjual donat bersaiz mini sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Pembantu kedai makan itu mengakui turut terkesan dengan peningkatan kos bahan mentah sejak kebelakangan ini, namun tidak berhasrat untuk menaikkan harga kerana memikirkan pelanggannya.

Iklan
Iklan

Menurut Idham Syafiq, harga donat mini dari air tangannya sendiri hasil berguru dengan isteri, Edah Ali, 38, akan dikekalkan walaupun untung diperolehi semakin kecil berbanding sebelum ini.

"Sebenarnya ramai pelanggan terkejut saya jual donat 10 sen sebiji dan minta naikkan harga sedikit tapi buat masa sekarang, biarlah ia dikekalkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Idham Syafiq berniaga menggunakan motosikal di sekitar bandar Kuala Terengganu setiap Khamis hingga Isnin bermula jam 9.30 malam dan tidak beroperasi pada Selasa.

Idham Syafiq menyiapkan donut mini yang dipesan pelanggannya.

Setiap Rabu pula, lelaki itu menjual donat mini di kampung isterinya di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun bermula jam 2.30 petang.

Iklan

Beliau berkata, kebiasaannya donat tersebut mendapat sambutan baik dari pelanggan dan habis dijual dalam tempoh 15 hingga 30 minit.

"Saya hanya gunakan dua kilogram gandum sehari di Kuala Terengganu, dapatlah sekitar 400 hingga 500 biji donat mini. Saya tidak mampu buat banyak kerana komitmen kerja di kedai makan, lepas waktu kerja baru saya buat donat.

"Cuma di Dungun, donat mini yang dihasilkan menggunakan 10 kilogram gandum kerana waktu perniagaan dimulakan lebih awal selain isteri turut membantu dan saya mampu menjual kira-kira 2,000 biji sehari,” ujar Idham.

Kisah Idham Syafiq pernah disiarkan Sinar Harian pada Januari 2019 dan katanya, dia sengaja membuat donat bersaiz mini bagi memudahkan kanak-kanak menikmatinya dan dapat mengelak pembaziran.

"Saya mula jual donut mini ini di Dungun pada tahun 2016 sebelum kembangkan ke Kuala Terengganu tiga tahun kemudiannya dengan menjual pada waktu malam selepas habis waktu kerja.

"Harapan saya semoga perniagaan ini dapat memberi manfaat dan membantu mereka yang kurang berkemampuan menikmati donat pada harga mampu milik,” katanya.