Semua orang sama rata di bawah undang-undang

Iklan
Hassan

JOHOR BAHRU - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd menunjukkan semua orang di negara ini sama rata di bawah undang-undang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini dapat dibuktikan apabila buat kali pertama dalam sejarah negara, bekas Perdana Menteri berjaya diheret ke didakwa dan dibicarakan, disabit bersalah dihukum penjara serta denda.

Iklan
Iklan

"Kini saya boleh berjalan dengan penuh yakin bahawa situasi di Malaysia selepas ini akan menjadi lebih baik dan memberi harapan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Mahmakah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Iklan

Hassan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu hadiah paling berharga kepada 33 juta rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

"Saya berasa lega. Bukan kerana mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masuk penjara. Saya lega kerana akhirnya kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dapat ditegakkan di Malaysia ini.

Iklan

"Saya gembira. Bukan kerana rayuan Najib Razak ditolak. Saya gembira kerana institusi Kehakiman dapat kembali tegak, bebas dan bermaruah. Saya bukan seorang sadis yang bertempik bersorak sorai kerana Najib Razak akhirnya dibawa ke Penjara Kajang," ujar beliau.

Hassan mengakui pernah merasa sedih apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke Penjara Sungai Buluh beberapa tahun lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor simpati dengan penyokong-penyokong Najib terutama mereka yang datang beramai-ramai menaiki bas dari Pekan, Pahang.

"Seperti Anwar, Najib juga ada penyokong. Benar, Najib telah tumbang hari ini. Tetapi dia telah melawan dan memberi tentangan hebat dan sekuat yang mungkin di mahkamah. Najib tidak mudah menyerah kalah. Ini watak seorang pahlawan.

"Saya bukan penyokong Najib, bukan simpatisan Najib. Malah dari segi politik kami bertentangan pendirian. Di Parlimen, Najib di blok kerajaan dan saya di blok pembangkang.

"Walaupunbegitu saya masih mempunyai sedikit sebanyak rasa hormat terhadap Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan juga anak sulung kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, pemimpin yang dihormatinya," katanya.