SUNGAI PETANI - Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,000 di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas kesalahan memandu secara bahaya pada minggu lalu.
Majistret, M Kalaiarasi membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Nabil Fikri Azman, 23, selepas pengakuan salah direkodkan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000, jika tertuduh gagal bayar akan dipenjarakan selama empat bulan.
Muhammad Nabil mengaku salah telah memandu dengan cara gopoh atau cuai hingga mungkin menyebabkan cedera atau bencana kepada orang lain.
Perbuatan itu dilakukan pada 15 Ogos 2022 jam lebih kurang 11.45 pagi bertempat di lampu isyarat Bandar Laguna Merbok di sini.
Oleh sebab itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Preeyaa Singaravelu, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Dina Mohd Shukri.
Nor Dina dalam rayuan memohon agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh yang hanya bekerja kampung masih menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira 36 kilometer kerana ingkar arahan berhentikan kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua Utara, Pulau Pinang.
Arahan berhenti dan menggunakan lampu beacon tidak diendahkan sehingga suspek dilihat memecut dan melakukan aksi zig-zag sepanjang lebuh raya dari Kilometer 113 sehingga Kilometer 108 susur keluar Sungai Petani dan menuju ke Bandar Laguna Merbok sebelum melanggar lampu isyarat merah.