Sarjan polis didakwa minta, terima rasuah RM4,300

Iklan
Gambar hiasan

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM4,300, tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Azlan Mohd Nor, 36, didakwa meminta suapan daripada Syed Shukrie Syed Radzi dan Shahrul Nizam Abu Bakar, masing-masing sebanyak RM1,500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang sedang disiasat.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 5.40 petang, 15 Julai 2021.

Kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Azlan didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan wang tunai RM1,300 daripada Syed Shukrie di IPD Seberang Perai Tengah pada 6.25 petang, 8 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan

Semua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM dan menetapkan 26 Septemper depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Chandra Segaran. - Bernama