Pertingkat sambutan Hari Kebangsaan peringkat komuniti

Iklan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (dua, kiri) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan), Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (dua, kanan) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kiri) hadir Program Bual Bicara Agenda Awani Merdeka 65 bersama Merdeka Kuartet di Astro, pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hari Kebangsaan di peringkat keluarga dan komuniti di seluruh negara perlu dipertingkatkan sepanjang Bulan Kebangsaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Ia termasuk sambutan di kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri, kampung, sekolah dan komuniti.

Iklan
Iklan

"Saya harap ini dapat menjadi satu amalan baharu kita di mana sambutan itu dirakyatkan, bukan hanya yang dijalankan di peringkat nasional pada pagi Hari Kebangsaan itu sendiri.

"Saya harapkan sambutan peringkat komuniti di seluruh negara diperhebatkan termasuk di kampung-kampung,” katanya selepas rakaman rancangan bual bicara khas Merdeka65 di Astro Awani sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022, pada Rabu.

Iklan

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai orang yang akan mengibarkan Jalur Gemilang termasuk individu, komuniti, pihak korporat dan syarikat swasta bagi menunjukkan semangat Hari Kebangsaan.

Annuar berkata, pada hematnya sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan masyarakat semakin meningkat dan kebanyakan mereka menunggu pada ambang 31 Ogos untuk mengibarkan Jalur Gemilang meskipun langkah itu boleh dilakukan sepanjang Bulan Kebangsaan.

Iklan

"Itu tidak mengapa (menunggu kibarkan Jalur Gemilang), masing-masing boleh membuat pilihan, tetapi yang pentingnya kita ingin melihat sambutan itu di segenap pelosok negara dan dilakukan oleh semua masyarakat.

"Yang penting adalah makna kepada kemerdekaan. Selain daripada kita zahirkan melakui sambutan, sebenarnya banyak perkara lain boleh dilakukan seperti posting, ucapan kita sesama sendiri dalam Facebook, Twitter, TikTok dan sebagainya serta juga kandungan yang kita boleh wujudkan sendiri melalui pelbagai (platform) termasuk media sosial dan lain-lain,” katanya.

Menurut Annuar, perkara yang penting dalam menyambut Hari Kebangsaan adalah menerusi penghayatan individu sendiri setelah negara berada pada Fasa Peralihan ke Endemik, selain berpeluang meraikan secara fizikal serta proses pemulihan yang sangat baik dilalui negara dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan.

Annuar antara empat menteri Kabinet yang mewakili pelbagai kaum bakal membincangkan isu perpaduan dan patriotisme dalam rancangan bual bicara khas sempena sambutan HKHM 2022.

Selain Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan HKHM 2022, menteri lain yang turut serta pada program itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Keempat-empat mereka yang mewakili Merdeka Kuartet akan menjadi tetamu khas dalam rancangan Merdeka65 yang akan disiarkan di saluran berita Astro Awani malam ini, jam 8.30 malam. - Bernama