MUAR - Berikutan status orang kurang upaya (OKU), seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditinggalkan ibu kandungnya ketika berusia sebulan lagi.
Mohamad Taufiq Zainal, 43, berkata, kanak-kanak lelaki bernama Afif Fikri Firdaus diserahkan oleh ibunya kepada mereka untuk dijaga sementara waktu, namun sehingga kini wanita itu gagal dikesan dan tidak muncul untuk menjenguk anaknya itu.
"Ibunya, Rosnani Abu Kasim, 36, berasal dari Ulu Tiram, Johor menyerahkan Afif Fikri yang dikategorikan OKU cacat kaki sejak lahir kepada kami pada tahun lalu termasuk sijil kelahirannya.
"Saya bersama isteri, Nazeelah Tahir, 38, pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat permohonan anak angkat namun memerlukan kehadiran ibu kandung Afif untuk pengesahan," katanya yang tinggal di Bandar Maharani, di sini.
Muhamad Taufiq berkata, dia dan isterinya telah berusaha menjejaki Rosnani di mana saja namun gagal.
"Bila tiada dokumen pengangkatan ini, maka pelbagai urusan sukar disempurnakan. Kami berhadapan masalah bila nak daftarkan Afif Fikri di mana-mana jabatan ataupun mendapatkan haknya," katanya.
Beliau berharap Rosnani dapat tampil membantunya bagi memudahkan proses pengambilan anak angkat sekali gus menjenguk anak kandungnya yang telah ditinggalkan hampir dua tahun ini.
"Kami harap Rosnani dapat muncul. Orang ramai yang mengetahui di mana Rosnani berada boleh menghubungi kami di talian 017-6055794," katanya.