PERTAHANAN import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales berharap pasukannya mampu meraih tiga mata penuh pada aksi derbi utara menentang Penang FC, 2 September ini bagi mengembalikan momentum mereka dalam saingan Liga Super 2022.
Menurutnya, beraksi di laman sendiri di Stadium Darul Aman perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selepas gagal meraih mata penuh ke atas Sabah FC apabila diikat 1-1 penghujung perlawanan pada 17 Ogos lalu.
"Saya harap pada aksi bertemu Penang FC kita akan memperolehi tiga mata penting. Kemenangan ini akan memastikan motivasi dan keyakinan pasukan akan bertambah baik dan selepas Penang FC kita akan bertemu dua lagi pasukan sebelum liga berehat sebentar," katanya yang kembali beraksi selepas dibelenggu kecederaan sejak beberapa bulan lalu.
Tonggak skuad kebangsaan Andorra itu berkata, kehadiran semula pemain-pemain yang cedera seperti Dechi Marcel pada perlawanan seterusnya menyaksikan Sang Kenari boleh menurunkan semua lima pemain importnya.
Jelasnya, mereka akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan dalam memburu kemenangan bagi mengubati kekecewaan tersingkir dari saingan Piala FA dan juga separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
"Kami perlu fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan dan bermula dengan aksi bertemu Penang FC terlebih dahulu. Kita berharap Marcel akan dapat diturunkan dan semua pemain perlu bersama-sama memburu kemenangan," ujar Vales.
Selepas aksi bertemu Penang FC, Sang Kenari akan terbang ke Stadium Hang Hebat bertemu Melaka United pada 9 September sebelum menerima kunjungan Selangor FC pada 14 September di Stadium Darul Aman.
KDA FC kini berada di tangga ketujuh Liga Super 2022 selepas mengumpul 18 mata daripada 14 perlawanan.