SHAH ALAM - Hukuman bersalah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC) menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara terutama menjelang Hari Kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi.
Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), Nasim Ralim berkata, sabitan dan hukuman dikenakan kepada Najib dilihat mencemarkan integriti barisan kepimpinan negara di mata dunia apabila ia melibatkan isu penyelewengan wang rakyat.
Katanya, sifat terpenting sebagai pemimpin negara atau ketua kepada mana-mana organisasi adalah amalan integriti.
Menurutnya, apabila hilangnya integriti dalam diri seorang pemimpin, maka hancurlah organisasi yang diterajui dan kesan yang lebih besar apabila individu tersebut merupakan insan diberi amanah memimpin negara.
"Pemuda GEMA sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia yang sentiasa berusaha menjana perubahan positif dalam kalangan anak muda Malaysia, kami berasa amat terkesan dengan peristiwa besar iaitu hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Keputusan bersalah ke atas Najib itu merupakan titik hitam kepada negara apabila ia melibatkan isu integriti bekas pemimpin nombor satu negara. Perbuatan tidak beretika itu jelas telah mencalar imej integriti negara.
"Suatu yang memalukan buat kita seluruh rakyat Malaysia kerana keputusan bersalah itu diumumkan ketika mana rakyat mahu meraikan hari kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nasim berkata, meskipun bekas pemimpin utama negara itu telah disabitkan kesalahan pelanggaran prinsip moral, namun masih ada lagi beberapa pertuduhan serta perbicaraan kes yang belum selesai.
Katanya, meskipun pelbagai pertuduhan kes lain yang belum selesai melibatkan Najib, namun kerisauan lebih besar masyarakat terhadap salah guna kuasa melibatkan golongan pemimpin negara.
Jelasnya, golongan berjawatan dan pemimpin menganggap perbuatan salah guna kuasa atau rasuah adalah perkara biasa di dalam masyarakat.
"Kita tidak mahu normalisasikan rasuah dan pecah amanah oleh pemegang kuasa. Perkara negatif ini harus ditentang habis-habisan di semua peringkat di mana jua.
"Jangan kita anggap perbuatan keji ini hanya salah jika hanya apabila ditangkap pihak berkuasa tetapi tidak mengapa jika ia berjaya disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.
"Atas kesedaran kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang terus jatuh saban tahun, maka Pemuda GEMA telah bersama-sama dengan pasukan Rasuah Busters untuk mendidik masyarakat termasuk dari akar umbi berpegang kepada nilai integriti dan jati diri tinggi," katanya.
Tambahnya, normalisasi salah guna kuasa dan rasuah akan menjadi barah jika tidak wujud perasaan bersalah dalam diri, selain merasakan seolah-olah perlembagaan dan undang-undang negara boleh dipermainkan.
Tegasnya, pemimpin yang baik seharusnya tidak ada masa untuk mengambil kesempatan dan berbuat onar, sekiranya masa yang ada disibukkan dengan urusan mentadbir dan memberi manfaat kepada rakyat.
Untuk itu katanya, sabitan hukuman ke atas Najib oleh Mahkamah Persekutuan seharusnya dijadikan iktibar atau wake up call oleh semua pemimpin untuk membetulkan tekad mentadbir negara dengan baik.
Menurutnya, setiap pemimpin seharusnya amanah dan sentiasa mempraktikkan tadbir urus dan tata kelola yang baik dalam kepimpinan.
"Walau bagaimanapun, ada hikmah di sebalik keputusan ke atas Najib apabila kita boleh menyaksikan bahawa sistem pengasingan kuasa negara masih terkawal dan tiada sesiapa sepatutnya boleh mengatasi undang-undang sedia ada.
"Selain semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah, tindakan kita sebagai rakyat Malaysia hari ini terutamanya anak muda haruslah fokus kepada perkukuhkan integriti serta normalisasikan tolak rasuah.
"Jangan terlibat dengan salah guna kuasa hatta sekecil-kecil kesalahan menggunakan 'kabel' untuk kemasukan anak ke sekolah diinginkan," katanya.