IPOH - Kerajaan Perak disaran menyediakan peruntukan secara berperingkat bagi membaik pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak yang kini dilaporkan dalam keadaan suram.
Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, pemuliharaan kawasan itu boleh dilakukan secara berfasa sehingga meliputi keseluruhan kawasan itu.
Menurutnya, kompleks berkenaan berpotensi untuk menarik pengunjung namun, beberapa elemen perlu dibaiki termasuk chalet yang dilihat berada dalam keadaan tidak memuaskan.
"Kerajaan negeri sedia maklum dan saya ada beritahu mereka melalui bahagian pelancongan.
Kerajaan tidaklah mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membaiki keseluruhannya.
"Saya berharap ada peruntukan sedikit demi sedikit yang mana akhirnya dapat dibaiki semua.
Ini memang hasrat semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bicara Tokoh: Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch dari perspektif waris Dato Sagor di Institut Perguruan (IPG) Kampus Ipoh di sini pada Rabu.
Beliau yang juga waris keturunan Datuk Sagor turut menyambut baik cadangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menyerahkan kepada pihak swasta berminat untuk mengurus kompleks itu.
"Apa yang mustahak ialah kesan jangka panjang yang akan memberi keuntungan dari segi pelancongan, pengetahuan sejarah dan lain-lain.
"Saya mengalu-alukan tindakan penswastaan asalkan kompleks ini diperbaiki sekali gus dinikmati pengunjung," katanya.
Sinar Harian melaporkan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan sudah reput dan tidak boleh lagi dikunjungi.
Rumah Kutai yang sinonim dengan kompleks itu tidak boleh dimasuki pengunjung termasuk Galeri Sejarah Negeri Perak.
Kerajaan negeri belum mendapat anggaran kos namun percaya ia membabitkan belanja yang tinggi menyebabkan pihaknya mengalu-alukan penglibatan pihak swasta berminat untuk mengambil alih bagi membolehkan ia kembali beroperasi.