SEREMBAN - Hutan Simpan Pasoh di Jelebu seluas 1,800 hektar akan dibangunkan menjadi tapak penyelidikan hutan tropika antarabangsa di negara ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selaras dengan keputusan dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Perhutanan Negeri Sembilan di Pusat Penyelidikan Hutan Pasoh pada Selasa.
"Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menjadikan Hutan Simpan Pasoh sebagai satu tapak antarabangsa bagi penyelidikan hutan tropika.
"Kita mahu wujudkan pusat penyelidikan yang lebih baik, moden malah kerjasama ini diharapkan menjadi pusat kecemerlangan bagi penyelidikan universiti tempatan dan antarabangsa," katanya dalam dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin berkata, menerusi kerjasama itu, FRIM memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk tujuan pembangunan kawasan berkenaan.
"Keunikan Hutan Pasoh ini ia luas dan tidak pernah diterokai, tiada aktiviti penebangan, ada hidupan liar dan pemandangannya cukup menarik berpontensi menjadi tarikan pelancong pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, pihaknya turut mengadakan perbincangan bagi membangunkan kawasan setempat dan berhampiran seperti Gua Pelangi di Pasoh, Taman Negeri Kenaboi dan Pusat Penyelidikan Hutan Pasoh.
Dalam perkembangan berlainan Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan komited dalam memastikan hutan-hutan yang tinggal terus terpelihara demi kebaikan generasi masa hadapan.
" Oleh sebab itu, tiada lesen pembalakan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2018," katanya.