IPOH - BN Perak menyifatkan keputusan penghakiman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberikan kesan kepada penyokong parti.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mana-mana parti politik akan berusaha memenangi hati pengundi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Iklan
Iklan
Menurutnya, tidak terkecuali BN yang akan bekerja keras untuk mendapatkan undi dan sokongan.
"Tak ada kesan (keputusan penghakiman Najib). Orang lain akan tetap keluar mengundi dan parti-parti politik termasuk BN yang berhasrat memenangi pilihan raya, dalam apa keadaan sekalipun tetap 'all out' untuk berkempen mempengaruhi pengundi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Najib, 69, gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember.