GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 14 September ini untuk mendengar pindaan dalam kes membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memfailkan injunksi bagi menghalang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membuat keputusan itu selepas peguam Chetan Jethwani yang mewakili kesemua ADUN memohon masa untuk memfailkan pindaan kepada saman pemula mereka susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos lepas bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang digubal pada 2012 adalah sah dan berperlembagaan.
Terdahulu, Chetan berkata, kesemua ADUN ingin mengemukakan pindaan kepada saman pemula susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Surendra Ananth, yang mewakili defendan, pula memaklumkan mahkamah bahawa permohonan itu adalah taktik untuk melengahkan kes tersebut dan meminta plaintif memfailkan saman pemula yang baharu.
Bagaimanapun, Azizan yang pada mulanya agak keberatan membenarkan plaintif membuat pindaan akhirnya memberikan tempoh dua minggu kepada Chetan untuk berbuat demikian.
"Saya memberikan tempoh dua minggu kepada kedua-dua pihak untuk berhujah mengenai pindaan itu dan sama ada saman pemula itu harus dibatalkan," katanya.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
Pada 12 April lepas, Azizan membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.
DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.
Pada 2020, empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan. - Bernama