Zii Jia ketuai cabaran negara ke pusingan ketiga

Iklan
Lee Zii Jia - Foto Bernama

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan pemain Portugal, Bernardo Atilano di Tokyo Metropolitan Gymnasium, Jepun pada Rabu.

Turun selaku pemain ranking kelima dunia, Zii Jia hanya memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan Bernardo dengan keputusan 21-9, 21-13 dalam pusingan terakhir 32 untuk bertemu pemain China, Zhao Jun Peng, selepas pemain yang berada pada ranking ke-23 dunia itu menumbangkan Srikanth Kidambi dari India 21-9, 21-17.

Iklan
Iklan

Cabaran negara menerusi perseorangan wanita berakhir selepas Soniia Cheah ditunjukkan jalan keluar oleh Juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei dari China yang menewaskannya 17-21, 15-21.

Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 22-20, 21-18 dalam pertarungan yang berlangsung selama 42 minit.

Iklan

Pilihan keenam kejohanan itu, bakal bertemu beregu senegara, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani dalam perebutan ke slot ke suku akhir pada Khamis.

Aaron berkata kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bahawa beliau akan berusaha meningkatkan tahap konsistensi dalam setiap perlawanan.

Iklan

"Kami mahu meningkatkan taktik permainan kerana kami tidak begitu konsisten jadi kami mahu menambah baiknya...terima kasih kepada semua peminat Malaysia yang menyokong kami dan kami akan mencuba yang terbaik dalam setiap perlawanan selepas ini,” kata Aaron.

Terdahulu, Sze Fei-Nur Izzudin yang juga merupakan pilihan ke-11 kejohanan menunjukkan jalan keluar buat beregu Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-13, 21-12 dalam pertarungan yang berlangsung selama 32 minit.

Bagaimanapun pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur apabila ditewaskan beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean, 20-22, 20-22.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke pusingan ketiga apabila menewaskan wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-8, 21-17.

Pasangan Pearly-Thinaah yang berada pada ranking ke-11 dunia itu akan turun bertemu beregu nombor lima dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama yang menundukkan wakil Kanada Catherine Choi-Josephine Wu 21-17, 21-9.

"Sebenarnya mereka (Treesa - Gayatri) merupakan gandingan yang kuat, mereka juga lebih muda beberapa tahun daripada kami jadi mereka mereka semakin meningkat dalam beberapa perlawanan dengan kami tetapi kami juga melakukan persiapan yang baik untuk aksi hari ini, kami tidak mahu alpa dan memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” kata Thinaah.

Pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menewaskan pasangan England Gregory Mairs-Jenny Moore, 21-13, 21-18 dalam pertarungan selama 33 minit.

Beregu nombor 11 dunia dari Malaysia itu akan bertemu beregu nombor sembilan dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang mengalahkan wakil Taiwan Hu Ling Fang-Yang Po-Hsuan 10-21, 25-23, 21-16 hari ini. - Bernama