BATU PAHAT – [DIKEMASKINI] Seorang lelaki di di Kampung Pantai, di sini, hanya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri selepas lemas di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan pada penghujung tahun lalu.
Nur Afifah Ishak, 20, berkata, dalam kejadian 9 Disember tahun lalu, suaminya, Muhamad Daniel Azrai Ami, 22, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di pesisiran pantai oleh salah birasnya pada jam 8.30 pagi.
"Ketika itu kami sekeluarga bercuti di Port Dickson dan selepas ternampak suami tak sedarkan diri, biras terus mengangkat suami ke lobi hotel sebelum bawa ke Hospital Port Dickson.
"Sewaktu di hospital, saya diberitahu keadaan suami agak kritikal dan badannya sudah bertukar warna kebiruan serta tak ada denyutan nadi dan selepas hampir 30 minit doktor berusaha, baharulah suami saya dapat bernafas semula,” katanya.
Dia ditemui semasa lawatan Ziarah Kasih Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati Batu Pahat (PKAAJBP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah keluarga mertuanya di Kampung Pantai, di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Biro Kebajikan PKAAJBP, Mohd Hamidi Mad Tap dan Penolong Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Noor.
Menurutnya, sewaktu dirawat di Hospital Port Dickson, suami diserang sawan tiga hari dan doktor turut mengesyaki kemungkinan suami lemas kerana diserang sawan ketika kejadian.
"Suami ditahan di Hospital Port Dickson selama dua minggu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanan Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selama empat hari dan doktor ada beritahu suami mengalami kegagalan saraf otak yang membuatkan dia sukar untuk bernafas sendiri.
"Saluran pernafasannya juga turut ditebuk bagi bantuan pernafasan kerana bantuan mesin oksigen tak boleh pakai lebih dari seminggu kerana takut ada jangkitan kuman di paru-paru dan sekarang suami hanya bergantung kepada susu formula sahaja,” katanya.
Menurutnya, dia juga buntu melihat keadaan suaminya ditambah pula anaknya, Puteri Ara Delisha yang kini baharu berusia 10 bulan dan memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ayah.
Katanya, kedua ibu bapa mertuanya iaitu Ami Jaafar, 67, dan Norini Osman, 63, juga turut membantunya menjaga suami dan anaknya selain kehilangan punca pendapatan ekoran tidak bekerja.
"Suami sebelum ini bekerja sebagai kelindan lori di Pasar Awam Batu Pahat dan setiap bulan saya terpaksa membelanjakan sebanyak kira-kira RM1,850 untuk kos susu formula, lampin pakai buang dan ubat-ubatan suami.]
"Sekarang ini saya hanya bergantung kepada bantuan ahli keluarga dan orang ramai sahaja dan katil, tilam angin serta mesin penyedut kahak yang suami gunakan sekarang juga merupakan barang pinjaman,” katanya.
Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, hasil semakan Perkeso mendapati jumlah caruman Muhamad Daniel Azrai tidak mencukupi iaitu hanya 17 bulan menyebabkannya tidak layak untuk mendapat pencen bulanan.
Bagaimanapun, Perkeso akan memberikan Muhamad Daniel Azrai bantuan khas seperti katil dan tilam angin selain bantuan bulanan berupa barangan seperti susu formula dan lampin pakai buang bari meringankan beban keluarga ini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nur Afifah di talian 01129570801 atau menyalurkannya secara terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor 0111741000235001.