MUAR - Harga bagi hasil tangkapan laut di daerah ini dijangka meningkat sehingga 50 peratus menjelang Januari nanti.
Pengerusi Nelayan Kawasan Muar, Kamaruddin Arshad berkata, kenaikan harga dijangka berlarutan selama sebulan iaitu pada Januari sehingga Februari berikutan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina nanti.
"Macam harga normal bagi udang besar untuk sekilo selalunya adalah RM50, namun menjelang Tahun Baharu Cina ia dianggarkan bernilai sehingga RM90 ke RM100.
"Begitu juga dengan beberapa ikan besar yang sering menjadi tumpuan ketika perayaan masyarakat Tionghua. Harga ini dianggarkan melambung sehingga dua kali ganda,” katanya kepada Sinar Harian.
Kamaruddin berkata, nelayan ketika ini telah mulai membuat persediaan dengan menyimpan bekalan ikan dan udang terbaik untuk dijual pada Februari nanti.
Dalam pada itu, Kamaruddin turut mengakui harga ikan di beberapa pasar awam turut dinaikkan berikutan keadaan musim tengkujuh.
Katanya, fenomena yang berlaku ketika ini disebabkan nelayan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan hasil tangkapan seperti biasa dan ia sekaligus menjejaskan sedikit pendapat golongan itu.
Bagaimanapun katanya, meskipun memahami kehendak nelayan yang terpaksa menaikkan harga hasil tangkapan laut, namun dia tetap menegaskan agar golongan berkenaan tidak mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga jualan sehingga di luar kawalan berikutan fenomena cuaca ketika ini.
"Kita harap sebelum menjelang Tahun Baharu Cina, tiada isu harga ikan dijual melambung tinggi sehingga membebankan pembeli. Saya tidak salahkan peniaga yang menaikkan harga ikan, tapi berharap ia tidak digunakan sebagai kesempatan untuk meraih keuntungan," katanya.
Menurutnya, dia mengalu-alukan pihak pengguna untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa jika didapati ada peniaga yang mengambil kesempatan menjual ikan dengan harga mahal.
"Selain itu, saya turut menasihati nelayan untuk mengutamakan keselamatan tatkala keadaan cuaca sebegini. Jika turun ke laut, mereka harus memakai jaket dan sekiranya cuaca tidak mengizinkan, adalah lebih baik agar menukar jadual perjalanan mereka,” katanya.