Guna logo PH untuk elak tanggapan berpecah: Anwar

Iklan
Anwar ketika ditemui media selepas seminar ekonomi bertajuk Pathway To a Better Future For Malaysia.

SUBANG JAYA - Keputusan sebulat suara untuk menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) adalah untuk mengelakkan tanggapan rakyat bahawa gabungan parti itu telah berpecah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekeliruan itu telah berlaku semasa Pilihan Raya Negeri di Johor apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan logo sendiri dan tidak menggunakan logo PH.

Iklan
Iklan

"Ada kekeliruan sebab ada orang kata berpecah. Kalau ikut sentimen PKR memang kehendaknya mahu guna logo PKR.

"Tetapi, kalau lihat perkembangan di PRN Johor, ia digambarkan seolah-olah berpecah. Jadi, saya kata lebih baik guna logo PH," katanya kepada media selepas seminar ekonomi bertajuk Pathway To a Better Future For Malaysia di sini pada Khamis.

Iklan

Keputusan menggunakan logo PH dalam PRU15 telah dicapai Majlis Presiden PH dalam mesyuarat bulanan pada Rabu.

Ia dibuat bagi memberi fokus kepada usaha konsolidasi bagi memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri.

Iklan

Malah, logo PH juga akan diubah dan diberikan nafas baharu.

Beliau menjelaskan, perubahan logo itu dibuat supaya ia tidak mengingatkan parti itu kepada cerita lama yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai seminar tersebut, Anwar menjelaskan ia bertujuan membentangkan kerangka besar tentang masa depan Malaysia.

"Kita tumpukan kepada mengapa kita ingin perubahan dan sistem di negara ini perlu terus bergerak untuk memastikan keselesaan hidup kepada rakyat.

"Terutamanya tata kelola yang baik dan ada beberapa isu yang perlu diberikan perhatian, tidak hanya sebagai kenyataan kerajaan tetapi juga perlu difahami tentang kesengsaraan rakyat.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh soal rasuah di negara ini yang perlu ditangani segera untuk memastikan negara boleh terus bergerak ke hadapan.

"Walaupun sudah ada kes berprofil tinggi yang didakwa, tetapi rasuah ini tetap berleluasa.

"Ia memerlukan perhatian segera dengan rasuah ini tetap berlaku dalam kerajaan sekarang," katanya.