ISKANDAR PUTERI - Pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 28 Oktober depan kekal, dan tidak akan dipercepatkan pada bulan hadapan seperti desakan sesetengah pihak.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata tarikh pembentangan bajet pada tahun ini kekal sebagaimana takwin Dewan Rakyat yang diketahui umum.
"Saya tiada maklumat Bajet 2023 akan disegerakan bulan depan. Setakat pengetahuan saya tarikh pembentangan bajet akan kekal seperti jadual," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Sebelum itu, timbul desas desus berhubung desakan supaya pembentangan Belanjawan 2023 disegerakan bulan hadapan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.
Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka hanya akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan menegaskan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan, adalah tidak benar.
Pada 7 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan menolak ramalan kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan dan menyifatkan spekulasi yang tersebar sebagai tidak berasas.