Sri Pahang, Selangor buru juara

Iklan
Bahazenan (dua dari kiri) dan Muhammad Firdaus memegang Piala Belia 2022 yang menjadi rebutan pasukan Sri Pahang dan Selangor.

SKUAD bawah 19 tahun, Sri Pahang FC sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk berdepan sepakan penalti dalam aksi final kedua Piala Belia 2022 menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh pada Jumaat.

Ketua Jurulatihnya, Bahazenan Osman memberitahu, impian pasukan itu untuk merangkul piala tersebut mampu dicapai sekali gus melakar sejarah buat Sri Pahang FC yang berjaya mara ke final selepas 18 tahun gagal ke perlawanan akhir.

Iklan
Iklan

"Kami akan berjuang sehabis mungkin untuk memastikan piala ini pulang ke bumi Pahang sekali gus menjadi hadiah terbesar sempena keputeraan Presiden Sri Pahang FC, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 23 Ogos lalu.

"Kali ini, persediaan lebih rapi dengan persiapan panjang untuk latihan berbanding dua hari ketika final pertama, insya-ALLAH kami dapat buat yang terbaik berbanding di Shah Alam.

Iklan

"Paling penting pemain kekal tenang dan tidak terkejut dengan suasana penyokong di Temerloh yang akan membanjiri stadium," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium MPT pada Khamis.

Sebelum ini pada pusingan pertama final Piala Belia, Selangor melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC menerusi hasil jaringan Harry Danish Haizon pada minit ke-54.

Iklan

Bagi kapten Sri Pahang, Hezri Sham Asnorhadi yakin pasukannya mampu melakukan sesuatu untuk menghalang Selangor walaupun menyedari kelebihan dimiliki pasukan lawan terutama di bahagian serangan.

"Harap semua rakan sepasukan bermain sebaik mungkin hingga ke wisel penamat dan mengikuti segala arahan diberikan," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Muhammad Firdaus Aziz mengakui mahu mengelakkan bermain hingga ke masa tambahan.

"Kita sudah mendahului 1-0 pada pusingan akhir pertama lalu dan hanya sedikit lagi usaha untuk membawa pulang Piala Belia pada tahun ini.

"Kita menyedari suasana berlainan di Stadium Temerloh tetapi tetap perlu tampil dengan prestasi lebih baik, pada tahap elit ini semakin banyak tekanan semakin perlu sesebuah pasukan itu seronok beraksi," kata beliau.

Beliau juga mahukan anak buahnya menikmati permainan tetapi pada masa sama mengalas tanggungjawab untuk memenangi perlawanan tersebut.

Dalam pada itu kapten Selangor, Akmal Izzuddin Azlan pula berkata, moral rakan sepasukannya kini berada pada tahap terbaik dan bersedia dari segi mental mahupun fizikal meskipun terpaksa bermain sehingga ke masa tambahan bagi penentuan juara.