PEMAIN sensasi, Karim Benzema dan Alexia Putellas dinobatkan sebagai penerima anugerah Pemain Lelaki dan Wanita Terbaik UEFA dalam satu majlis di Istanbul awal pagi Jumaat.
Penyerang Perancis, Benzema mengetuai Real Madrid mencipta kemenangan mengatasi Liverpool dalam final Liga Juara-Juara dan meledak 15 gol dalam kejohanan itu.
Putellas pula penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Wanita ketika membantu Barcelona mara ke final, namun tewas kepada Lyon.
Benzema,34, menerima anugerah berkenaan mengatasi rakan sepasukan, Thibaut Courtois dan pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne.
Pemain terbaik bagi edisi lalu ialah bintang Chelsea, Jorginho.
Benzema meledak hatrik ketika berdepan Paris Saint-Germain dan Chelsea pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan timbal balik separuh akhir berdepan Manchester City.
Dia meledak gawang sebanyak 44 kali dalam 46 perlawanan ketika Real juga menang gelaran Liga Sepanyol.
Putellas, 28, menang anugerah berkenaan buat kali kedua berturut-turut walaupun mengalami kecederaan lutut yang serius menyebabkan dia tidak dapat beraksi pada Euro 2022.
Dia mengatasi penyerang England dan juara Eropah, Beth Mead, penjaring terbanyak bagi kejohanan berkenaan serta pemain muda Jerman, Lena Oberdorf.
Carlo Ancelotti pula dinamakan jurulatih terbaik bersama Real, manakala jurulatih dari Belanda, Sarina Wiegman menerima gelaran jurulatih wanita terbaik selepas membawa England mencipta kejayaan pada Euro di laman sendiri bulan lalu.