Bursa Malaysia terus kekalkan prestasi positif

Iklan
Bursa Malaysia dibuka 0.15 peratus lebih tinggi hari ini, dirangsang oleh sentimen yang bertambah baik, menyaksikan indeks penanda aras itu kembali melepasi paras 1,500.

BURSA Malaysia dibuka 0.15 peratus lebih tinggi hari ini, dirangsang oleh sentimen yang bertambah baik, menyaksikan indeks penanda aras itu kembali melepasi paras 1,500, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.29 mata untuk mencapai paras 1,497.78 daripada penutupan urus niaga Khamis 1,495.49.

Iklan
Iklan

Indeks utama itu memulakan dagangan pagi ini 0.89 mata lebih kukuh pada 1,496.38.

Bagi pergerakan harga di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 190 berbalas 188, manakala 250 kaunter tidak berubah, 1,731 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Iklan

Jumlah dagangan adalah sebanyak 273.54 juta unit bernilai RM163.66 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, sentimen kenaikan harga pada sesi pembukaan hari ini disokong lagi oleh beberapa laporan pendapatan positif semalam, justeru, indeks komposit dijangka bergerak dalam julat 1,500-1,515.

Iklan

"Minat belian akan tertumpu kepada saham berkaitan perbankan dan teknologi hari ini," katanya kepada Bernama.

Beliau menambah Wall Street ditutup pada paras tertinggi seharian semalaman, menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell di Jackson Hole lewat hari ini.

Purata DJI memperoleh 322 mata manakala Nasdaq melonjak sebanyak 208 mata apabila hasil 10 tahun AS susut sedikit kepada 3.03 peratus.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa -- Public Bank menambah satu sen pada RM4.62, Petronas Chemicals meningkat lima sen menjadi RM8.70, Maybank tidak berubah pada RM8.84 dan CIMB susut dua sen pada RM5.38.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik menokok setengah sen menjadi empat sen, Coraza Integrated Technology meningkat satu sen kepada 85.5 sen, MQ Technology tidak berubah pada empat sen dan Jaks Resources turun tiga sen menjadi 29.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 10.15 mata menjadi 10,635.98, Indeks FBMT 100 menokok 13.19 mata kepada 10,379.20 manakala FBM 70 memperoleh 5.39 mata kepada 12,741.61.

Indeks FBM ACE turut meningkat 19.04 mata kepada 5,009.91 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 19.03 mata kepada 10,775.87.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meraih 18.87 mata untuk mencatatkan paras 6,972.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.42 mata kepada 183.47 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.14 mata menjadi 16,646.49 manakala Indeks Tenaga turun 8.17 mata kepada 724.68. - Bernama