BEKAS pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic sah tidak akan beraksi di kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas kekal dengan pendiriannya menolak vaksinasi Covid-19.
Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Juara Wimbledon 2022 di laman sosialnya awal pagi tadi sejurus undian di New York, yang memberitahu bahawa dirinya tidak akan membuat perjalanan ke Flushing Meadows.
Iklan
Iklan
"Sayangnya, saya tidak akan dapat pergi ke NY (New York) kali ini untuk menyertai Terbuka AS. Terima kasih kepada #NoleFAM yang banyak memberi sokongan kepada saya.
"Selamat maju jaya kepada rakan-rakan pemain saya! Saya akan kekal dalam keadaan baik dan semangat positif dan menunggu peluang untuk bertanding semula. Jumpa anda tidak lama lagi dunia tenis,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa AS enggan membenarkan pelawat asing yang tidak divaksin memasuki negara itu.
Malah Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) juga berjanji untuk mematuhi ketetapan kerajaan mengenai protokol Covid-19, walaupun memasukkan Djokovic dalam senarai penyertaan Terbuka AS bulan lalu.
Untuk rekod, Djokovic pernah ‘dihalau’ dari Australia awal tahun ini kerana kekal dengan pendirian untuk tidak mendapatkan vaksin sehingga menyebabkan dia tidak dapat beraksi pada Terbuka Australia.