Kes 1MDB: Arul Kanda tidak tahu Mohd Nazlan terbabit

Iklan
Arul Kanda Kandasamy. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa, beliau tidak mengetahui bahawa seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, terbabit dalam kelulusan pinjaman RM4.1 bilion kepada syarikat kontroversi itu.

Saksi pendakwaan ke-15, Arul Kanda Kandasamy berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa prosiding meminda laporan audit 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

Sri Ram: Sebentar tadi, peguam ada bertanya, mengenai pembabitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu berhubung kelulusan pinjaman daripada Maybank kepada 1MDB.

Arul Kanda: Ya.

Iklan

Sri Ram: Adakah anda tahu hakim itu terlibat?

Arul Kanda: Tidak, saya tiada pengetahuan mengenai perkara berkenaan.

Iklan

Saksi itu menjawab pertanyaan Sri Ram susulan soalan yang dikemukakan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung pembabitan Mohd Nazlan dalam pembiayaan kewangan.

Semasa disoal oleh Muhammad Shafee, Arul Kanda berkata, ketika kejadian, beliau mengetahui bahawa Mohd Nazlan bertindak sebagai Kaunsel Kumpulan Maybank.

Namun katanya, beliau tidak pernah menghubungi atau bertemu dengan hakim itu sepanjang bertugas di 1MDB.

"Saya hanya berurusan dengan peguam bank dikenali sebagai Molly atau nama sebenar Dalvin Kaur.

"Urusan pinjaman pula membabitkan Michael Oh-Lau daripada Bahagian Pinjaman Komersial,” katanya.

Arul Kanda berkata, dia mula menyertai 1MDB pada 5 Januari 2015 lalu.

Untuk rekod, Mohd Nazlan merupakan Hakim Makamah Tinggi di sini yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati atas tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 September depan.