PRESIDEN Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi menepis dakwaan bahawa kedua-dua bintangnya iaitu Kylian Mbappe dan Neymar dikatakan tidak sebulu.
Nasser menyifatkan pertelingkahan melibatkan kedua-dua pemain itu tidak lebih seperti pertengkaran antara adik-beradik.
"Tidak, tidak. Tidak ada masalah sama sekali. Saya rasa mungkin mereka tidak faham situasi sebenar di antara mereka.
"Maksudnya di sini, mungkin saya boleh bergaduh bersama abang atau kakak saya dan ia merupakan perkara biasa. Mungkin disebabkan mereka adalah Neymar dan Mbappe, jadi orang melihat ia seolah pergaduhan besar.
"Tetapi sebenarnya kedua-dua pemain ini merupakan rakan baik dan rakan sepasukan yang hebat,” katanya.
Khabar angin tentang ketidakpuasan hati antara Neymar dan Mbappe bertiup kencang sejak Paris Saint-Germain menang 5-2 menentang Montpellier pada 13 Ogos lalu, yang mana Neymar memutuskan untuk mengambil alih tugas penalti selepas sepakan yang dilakukan Mbappe sebelum itu tersasar.
Pada perlawanan tersebut, Mbappe dilaporkan kelihatan kecewa dengan rakan sepasukannya itu sekali gus mencetuskan pergaduhan di bilik persalinan sehingga menyaksikan Sergio Ramos terpaksa bertindak meleraikan mereka.
Tidak lama selepas itu, Neymar dilihat menyukai Tweet yang mengatakan kontrak baharu Mbappe dengan gergasi Perancis itu menyebabkan dia bertindak seperti 'pemilik PSG'.