SHAH ALAM - Jabatan insolvensi Malaysia mencadangkan empat peruntukan baharu penambahbaikan undang-undang insolvensi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat peruntukan baharu dilihat berkemampuan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan.
"Peruntukan Seskysen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai bankrap yang dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Wan Junaidi berkata, kedua adalah menetapkan masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankarapan atau pembatalan perintah kebankrapan.
"Ketiga, memansuhkan mesyuarat pertama pemiutang, Cadangan mesyuarat pemiutang hanya perku diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar dari kebankrapan.
"Manakala keempat, menambah penggunaan baharu bidang teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan,” kata beliau.
Menurutnya, walau bagaimanapun, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji cadangan pindaan ini dengan lebih terperinci terutamanya impilikasi kepada orang ramai.
"Beberapa libat urus dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro,” ujarnya.
Dalam pada itu Wan Junaidi menjelaskan, pola penurunan kebangkarapan di sebabkan beberapa faktor termasuk pemberian inisiatif kerajaan melalui moratorium dan bantu bersasar.
"Meskipun terdapat penurunan kes kebankrapan ketika ini, jumlah serta punca kes kebankrapan yang difailkan oleh pemiutang serta menambah baik Akta 360 sentiasa diteliti bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisyen,” kata beliau.