Bekas pengawal keselamatan harap dibedah segera

Iklan
Faris Danial bersama ibu dan bapanya menunjukkan ubat yang diambilnya.

SEREMBAN - Seorang pemuda kini terpaksa mengharapkan ihsan adik-beradik dan saudara-mara untuk meneruskan hidup selepas diuji dengan penyakit dalam perut (gerd) dan angin pasang (hernia) sejak November lalu.

Faris Danial Mohd Amir Raja, 28, yang tinggal bersama ibu bapanya di Taman Warisan Puteri di Sikamat di sini turut menghidap gejala kecelaruan panik (panic disorder).

Iklan
Iklan

Keadaan itu menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu tidak dapat bekerja kerana sering mengalami sesak nafas dan cepat penat.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi terpaksa berhenti kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Iklan

"Saya juga ada cuba berniaga makanan dan minuman, tapi hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja kerana mudah penat dan tak boleh angkat barang berat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat.

Menurutnya, dia hanya makan makanan yang direbus seperti dada ayam, lobak merah, sawi dan badam selain makanan tambahan.

Iklan

"Kos makanan saya agak mahal dan duit simpanan saya pun dah habis. Ia digunakan hanya untuk beli makanan termasuk membayar kos rawatan yang dianggarkan RM1,000 setiap bulan.

"Saya juga lebih sanggup berlapar, jika makanan yang boleh dimakan tidak ada kerana tidak sanggup menanggung rasa sakit di perut," katanya.

Disebabkan itu, Faris Danial berharap dapat menjalani pembedahan segera bagi mengelak risiko penyakit kanser perut dan esofagus sekali gus membolehkannya bekerja semula untuk membantu keluarga.

"Pihak hospital maklumkan kos pembedahan dianggarkan RM26,000 dan saya baru buat permohonan bantuan daripada Baitumal.

"Buat masa ini doktor bagi ubat untuk kurangkan asid dalam badan, tapi ia bukannya boleh menyembuhkan penyakit saya keseluruhan," katanya.

Sementara itu ibunya, Nor Laila Hassan, 58, pula menghidap ketumbuhan tiroid sejak 15 tahun lalu manakala ayahnya Mohd Amir Raja Abdullah, 58, menghidap penyakit 'tiga serangkai' sekali gus kehidupannya sekeluarga semakin sukar.

"Ayah saya kerja sambilan di kedai makan dengan gaji harian RM25 sehari.

"Sebab itulah saya sangat berharap dapat melakukan pembedahan segera kerana saya mahu bekerja untuk membantu keluarga," katanya.