LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bersetuju untuk memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai pasukan itu yang mengalami masalah tunggakan gaji.
MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Ab Ghani Hassan, pada Khamis.
Kata kenyataan itu, tindakan tersebut untuk meringankan beban dipikul oleh pemain dan pegawai terlibat.
"Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.
"Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
"MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United. Justeru, MFL mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini.
"Seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil, kemungkinan slot bertanding di TM Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) pada Rabu mengesahkan menerima laporan bahawa pemain Sarawak sudah empat bulan tidak menerima gaji, sehingga ada yang dihalau dari tempat tinggal kerana pasukan tidak membayar sewa.
PFAM turut mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United dan mengakui pergerakan pembayaran dilakukan tetapi ia tidak dibayar secara penuh seperti nilai dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.