Kerajaan negeri teliti isu gaji pemain Sarawak United FC

Iklan
Kerajaan Sarawak akan meneliti isu pembayaran gaji melibatkan pemain Sarawak United FC dan menyelesaikannya secepat mungkin. - Foto FB Sarawak United FC Official

KERAJAAN Sarawak akan meneliti isu pembayaran gaji melibatkan pemain Sarawak United FC dan menyelesaikannya secepat mungkin, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Kesal dengan dakwaan bahawa gaji pemain pasukan berkenaan tidak dibayar, beliau berkata, perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet negeri semalam dan pihaknya sedang mendapatkan perincian berhubung masalah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bukan saya sahaja yang tidak senang mengenai isu ini, malah Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) juga. Saya diberi arahan oleh beliau untuk melihat di mana silapnya dan akan berusaha selesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Kita tidak mahu mereka yang berjuang atas nama Sarawak dipinggirkan. Saya akan berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) (Datuk Posa Majais) dan pemain yang membuat laporan ini, jadi saya dapat cari punca masalah ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Beliau turut berharap pengurusan FAS dapat menyelesaikan masalah itu kerana ia boleh mencemarkan nama Sarawak.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pemain pasukan bola sepak Sarawak United FC mendakwa tidak dibayar gaji selama empat bulan.

Iklan

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada beberapa pemain kelab berkenaan mengenai isu tersebut. - Bernama