MOSCOW - Ratu Elizabeth II, 96, akan melantik perdana menteri baharu United Kingdom di Istana Balmoral, Scotland dan bukan di Istana Buckingham, London susulan isu kesihatan yang dihadapinya, lapor Sputnik.
Baginda ratu dilaporkan membatalkan cutinya untuk melantik perdana menteri baharu iaitu Liz Truss atau Rishi Sunak, pada 6 September.
Bagaimanapun, Ratu Elizabeth II memutuskan untuk melantik perdana menteri baharu itu sendiri walaupun anaknya, Putera Charles boleh berbuat demikian.
Truss dan Sunak adalah dua calon terakhir dalam sesi pemilihan mengisi jawatan perdana menteri, selepas Perdana Menteri UK Boris Johnson mengumumkan peletakan jawatannya pada 7 Julai lepas.
Semasa pusingan terakhir, semua ahli parti - kira-kira 200,000 orang akan menjalankan tanggungjawab mereka memilih perdana menteri baharu UK.
Sesi pengundian akan dilakukan melalui pos.
Pengganti Johnson akan diumumkan pada 5 September. - Bernama