Rumah terjejas teruk akibat dilanda ribut

Iklan
Rumah Mohd Faizal rosak teruk akibat dilanda ribut di Kampung Parit Mentara 2 petang, semalam.

BAGAN SERAI - Lima rumah terjejas teruk selepas dipukul ribut dalam kejadian di Parit Mentara 2, semalam.

Lebih menyedihkan salah satu keluarga terlibat baru sahaja kehilangan ahli keluarga dua hari lalu.

Iklan
Iklan

Mangsa Mohd Faizal Jaffri,36, berkata, ketika kejadian dia dan isteri Norwahidah Idris,37, sedang membuat laporan polis di Bagan Serai berkaitan kes kemalangan maut membabitkan bapa mertuanya, Idris Alias,80, pada Selasa lalu.

Dia kemudiannya menerima panggilan telefon daripada anak sulung memaklumkan bumbung utama rumah mereka diterbangkan ribut.

Iklan

"Bila tiba di rumah, kami dapati lebih separuh bumbung rumah hilang.

"Anak saya memberitahu dia dan adik-adiknya terdengar bunyi angin dan tidak lama kemudian mereka nampak angin itu mengangkat beberapa kali bumbung rumah dan hilang dalam sekelip mata.

Iklan

"Mujur mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai, Noor Azman Ghazali dihubungi berkata pihaknya akan menggerakkan pasukan untuk memberi bantuan awal kepada kesemua mangsa terlibat.

"Sehingga jam 9.30 malam, saya menerima maklumat empat rumah di Parlimen Bagan Serai iaitu dari Kampung Parit Mentara 2, Parit Mentara 3 dan Telok Medan mengalami kerosakan teruk," katanya.