SHAH ALAM - UMNO tidak akan mengikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sangat memahami tindak-tanduk pembangkang yang mahu PRU15 dilewatkan.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak akan membenarkan pembangkang menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda dan menambah serangan politik terhadap UMNO.
"Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka. Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan UMNO," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Jumaat.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO bukan parti nyamuk yang baru ditubuhkan sebaliknya sudah mencecah usia 76 tahun.
"Bermakna UMNO ada tradisi, sejarah dan kesinambungan dalam negara. Ramai keluar parti dalam sejarah yang panjang. Ada yang memilih menentang UMNO selepas itu. Namun, UMNO tetap teguh walaupun badai politik bergelora.
"Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek.
'Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi," katanya.
Kata Ahmad Zahid, UMNO tetap hidup, malar segar dan terus diyakini rakyat walaupun usaha memperlekeh parti itu tetap ada.
Beliau turut menyeru ahli parti itu mempertingkatkan azam bergerak ke depan bersama dan tidak goyang jika ada cabaran politik dihadapi.