PADANG RENGAS - UMNO Perak tidak akan meletakkan calon 'payung terjun' untuk bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua 24 UMNO Bahagian sudah pun mengemukakan senarai calon untuk dipilih bertanding di kerusi-kerusi yang ditetapkan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Menurutnya, tempoh untuk semua UMNO bahagian mengemukakan senarai calon juga sudah tamat kerana ia telah ditutup pada 15 Ogos lalu.
"Semua ketua bahagian hendaklah mengadakan mesyuarat jawatankuasa UMNO bahagian dan mesyuarat tersebut hendaklah mencadangkan nama-nama. Jadi, nama inilah sahaja yang akan kita bawa dalam perbincangan.
"Kalau nama itu tak datang dari UMNO bahagian, payahlah. Tak kira calon luar atau dalam asalkan nama ada dalam itu, dia boleh dipertimbangkan. Jadi tak ada istilah calon parachute (payung terjun)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penghijauan Malaysia: YAB Menteri Besar Bersama Pelajar Negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, kesemua nama-nama yang dikemukakan itu sudah pun dimasukkan untuk dibawa kepada panel pemilihan untuk diputuskan oleh pihak Ibu Pejabat UMNO.
Menurutnya, nama-nama disenaraikan itu merupakan cadangan yang dikemukakan oleh setiap UMNO Bahagian.
"Di peringkat pusat akan ada lagi kuota pemuda, wanita dan puteri. Sebab itu kita tak muktamadkan di peringkat UMNO negeri," katanya.