PADANG RENGAS - Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan mengikut situasi yang betul bagi membolehkan BN menang sekali gus membentuk kerajaan.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengadakan PRU15 segera atau lewat bukan menjadi isu sebaliknya kesesuaian masa untuk melaksanakannya.
Menurutnya, BN Perak percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai maklumat mengenai masa yang sesuai untuk mengadakan PRU15.
"Pilihan raya ini kena masa yang betul. Kalau segera tetapi masa tak betul tak jadi juga. Sama ada segera atau dilewatkan bergantung kepada masa yang cukup sesuai.
"Jadi saya yakin Perdana Menteri ada maklumat dan sumber bila masa paling sesuai untuk dia menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menasihati Seri Paduka Baginda untuk bubar.
"Jadi kita doa supaya Perdana Menteri akan mendapat hidayah dan masa yang betul (untuk membubarkan Parlimen)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penghijauan Malaysia: YAB Menteri Besar Bersama Pelajar Negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Sementara itu mengenai taklimat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu, Saarani menjelaskan ia bukan perkara yang luar biasa kerana memang setiap tahun diadakan program seumpama itu.
Menurutnya, taklimat berkenaan juga dijangka akan menyentuh keputusan penghakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan pemahaman kepada pimpinan UMNO.
"Dilihat ada keperluan untuk presiden berjumpa dengan kepimpinan dan ahli-ahli untuk memberi penerangan serta menenangkan supaya orang faham apa yang berlaku paling penting ia tidak akan merosakkan perpaduan dalam UMNO.
"Yang paling penting esok, lagi ramai orang datang lagi elok.
Pertama, dapat dengar taklimat daripada presiden parti, kedua dengan pertemuan itu, dapat mengelakkan sebarang prasangka serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli," katanya yang juga Pengerusi UMNO Perak.
Media sebelum ini melaporkan satu taklimat khas oleh Ahmad Zahid dijadual diadakan pada Sabtu bermula jam 2 petang di Dewan Mereka dan Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan rasmi Twitternya pada Rabu.