‘Kalau esok PM bubar Parlimen, kita sedia masuk gelanggang’

Iklan
Muhyiddin

SERDANG - Perikatan Nasional (PN) kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka bila-bila.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah menjadi asas penubuhan sesebuah parti politik untuk menyertai pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, mengikut ‘perjanjian’ yang ditandatanganinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PN perlu dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya pemimpin nombor satu negara itu ingin menentukan tarikh pilihan raya.

Ini kerana katanya, sebagai sebuah parti yang menganggotai gabungan kerajaan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Bera itu, PN juga perlu perlu dilibatkan dalam rundingan penting tersebut.

Iklan

"Kita tahu bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan ianya diadakan dalam masa terdekat. Semasa kita berhimpun di sini, pihak di sebelah sana (UMNO) juga berhimpun. Dengar katanya nak desak Perdana Menteri (Ismail Sabri) supaya bubar Parlimen lebih awal.

"Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang,” katanya ketika berucap dalam merasmikan Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yang Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri DR Jeffrey Kitingan serta kepimpinan yang lain.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasrat supaya PRU15 perlu diadakan tahun ini, bukannya tahun depan.

"Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN (Ahmad Zahid). Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut mendakwa terdapat laporan mengatakan kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot, apatah lagi tujuan desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

"Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” katanya.