Persiapan sambutan Hari Kebangsaan hampir 95 peratus

Iklan
Annuar (tiga dari kiri) hadir menyaksikan raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Persiapan acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, di sini, mencapai tahap hampir 95 peratus, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Meninjau raptai separa penuh pada Sabtu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan dan susun atur acara yang baik.

Iklan
Iklan

Katanya, raptai pada hari ini berjalan teratur mengikut masa ditetapkan dan hampir sempurna.

"Acara perbarisan dan perarakan ini memerlukan tahap kesempurnaan tertentu sebab kena selaraskan dengan pergerakan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, yang perlu diselaraskan dengan pergerakan terbang lintas pesawat udara.

Iklan

"Saya ucap terima kasih kepada semua kontinjen menunjukkan kesiapsiagaan yang baik setelah latihan sekian lama dijalankan mereka,” katanya kepada pemberita pada raptai separa penuh berkenaan.

Perbarisan Angkatan Tentera Malaysia pada sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama

Annuar berharap sambutan kali ini dapat diraikan penuh keceriaan dan pengunjung yang hadir diminta terlibat sama terutama sewaktu bacaan ikrar, laungan slogan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dan nyanyian lagu tema dan patriotik.

Iklan

Beliau turut berharap tema Hari Kebangsaan 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dapat dijelmakan pada hari sambutan tersebut oleh ribuan rakyat yang dijangka hadir, selain cuaca baik dan atur cara berjalan lancar, selamat serta sempurna mengikut perancangan.

"Saya percaya kehadiran fizikal warga Lembah Klang dan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti siaran langsung seramai ratusan ribu rakyat, akan menjadikan acara tahun ini meriah, bersesuaian dengan negara kita bergerak ke fasa endemik setelah dua tahun kita tidak mengadakannya kerana Covid-19,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 bakal berlangsung Rabu ini seawal 7 pagi di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 orang.

Pelbagai acara menarik telah diatur bagi menyemarakkan sambutan tahun ini termasuk keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta berkuda Diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka. - Bernama