Bajet 2023: Kerajaan belum berunding dengan PH - Anwar

Iklan
Respon Anwar mengenai keputusan Perdana Menteri mempercepatkan tarikh pembentangan Bajet 2023.

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan langkah mempercepatkan tarikh pembentangan Bajet 2023 kepada 7 Oktober ini adalah satu keputusan terburu-buru.

Ini kerana menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum mengadakan sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam penyediaan belanjawan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ismail Sabri mempunyai kuasa bagi menentukan tarikh pembentangan bajet itu, namun dilihat berdepan tekanan daripada pemimpin UMNO untuk berbuat demikian.

"Itu berdasarkan memorandum persefahaman (MoU). Umpamanya, aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.

Iklan

"Ini belum bermula. Bermakna mereka ikut terburu-buru melaksanakan (percepat tarikh pembentangan Bajet 2023),” katanya menerusi satu video di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Iklan

Menurutnya, takwim baharu yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November bagi Dewan Rakyat iaitu selama 32 hari.

Ujar Anwar, desakan sedemikian dilakukan supaya Perdana Menteri sekali lagi diberikan masa untuk menentukan tarikh pilihan raya umum (PRU).

Kata beliau, PH sudah menjangkakan situasi tersebut maka gerak kerja pilihan raya telah dimulakan dan serta diperhebat.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri pun akan ada konvensyen pilihan raya pada Sabtu.

"Tetapi dengan cara dan keadaan pimpinan Perdana Menteri sekarang yang terpaksa terhuyung-hayang bertindak mengikut selera pimpinan kelompok dalam parti beliau, akan membuktikan kepada kita bahawa kita perlu mandat yang kuat.

"Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru ini boleh menumpukan perhatian,” jelasnya.