Hadi sekali lagi tegaskan PN bukan kerajaan pintu belakang

Iklan
Abdul Hadi Awang

SERDANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan sebelum ini bukan dilakukan secara ‘pintu belakang’ seperti didakwa Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan penubuhan kerajaan yang ketika itu di pimpinan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dilakukan secara demokrasi dengan mengumpulkan jumlah ahli Parlimen yang mencukupi.

Iklan
Iklan

"Kita mengambil alih (kerajaan daripada PH) dalam keadaan yang teratur. Tiada darah yang tumpah, tidak ada demonstrasi, rakyat dan polis tidak bergaduh. Perubahan yang sangat hebat kita lakukan.

"Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada masa itu dengan menggalas tugas yang sangat besar dan berat kerana seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya ketika berucap dalam merasmikan Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di sini pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, meskipun PN tidak mempunyai manifesto ketika mengambil alih pentadbiran negara, namun matlamat untuk menyelamatkan rakyat yang berdepan dengan pelbagai tekanan susulan krisis pandemik itu disifatkan sebagai berjaya.

"Kita selesaikan masalah ketirisan, salah urus, salah laku dalam masa yang singkat, meskipun berdepan dengan gangguan daripada luar dan dalam (parti),” jelas beliau.

Iklan

Ujarnya, bahtera PN juga masih diteruskan sehingga kini, walaupun Perdana Menteri bukan daripada wakil gabungan parti tersebut dengan dibuktikan majoriti menteri kabinet yang menganggotai kerajaan terdiri daripada gabungan PN.

"Paling penting di dalam PN kita buktikan tidak ada ketirisan, sebaliknya kita membina integriti. (Jadi) terpulang kepada rakyat (untuk menilai) dan yang penting kita (PN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyifatkan kerajaan PH yang pernah mentadbir negara sebelum ini sebagai kerajaan ‘mi segera’.

Justeru katanya, kejatuhan kerajaan gabungan parti itu disebabkan sikap gopoh pemimpin mereka.

Tambah Abdul Hadi, perebutan jawatan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin gabungan parti itu juga turut menjadi faktor jatuhnya kerajaan tersebut.

"Sudahlah kerajaan mi segera tidak masak, berlaku krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, hendak jadi pemimpin, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan,” katanya.