KUALA LUMPUR - Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sekali lagi menjadi tumpuan susulan sesi Taklimat Khas Presiden UMNO yang berlangsung pada Sabtu.
Ahli-ahli UMNO dan pimpinan parti dilihat mula membanjiri WTC sejak jam 12 tengah hari bagi mengikuti sesi taklimat itu yang membabitkan kepimpinan utama parti dan ahli jawatankuasa bahagian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada jam 2.30 petang dan turut disertai timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya, Nooryana Najwa.
Nooryana dijangka akan diberikan ruang untuk berucap dalam sesi taklimat khas itu.
Taklimat kali ini menjadi tumpuan dan dijangka berkisar soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta solidariti terhadap Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.