Sengaja pilih isu LCS sedarkan orang Melayu: Rafizi

Iklan
Rafizi menyampaikan amanat strategi pilihan raya pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengakui sengaja memilih skandal kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menyedarkan orang Melayu mengenai pihak mana yang sebenarnya mengkhianati kaum itu.

Beliau berkata, hakikatnya pihak yang terlibat telah menggunakan isu perkauman dan agama bagi berselindung di sebalik salah guna kuasa yang dilakukan.

Iklan
Iklan

"Yang sakau duit rakyat dan pertahanan ini adalah parti yang sama kononnya ingin membela orang Melayu.

"Punca penyelewengan itu datang apabila ada pimpinan-pimpinan yang menggunakan perkauman dan keagamaan untuk mengkayakan diri mereka,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian pada 7 Ogos lalu melaporkan, Rafizi bakal mendedahkan skandal penyelewengan projek pembinaan enam LCS bernilai RM9 bilion yang didakwanya mirip 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pendedahan itu susulan laporan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkenaan pembayaran sejumlah RM6 bilion oleh kerajaan untuk projek berkenaan, namun tiada sebuah kapal disiapkan.

Iklan

Sementara itu pada sidang akhbar, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR turut memberi gambaran bahawa isu skandal LCS akan terus dimainkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"(Isu) LCS sebenarnya banyak lagi ‘sampah-sampah’ yang akan keluar, saya rasa kalau PRU15 (diadakan) dalam tiga atau empat bulan dari sekarang, yang itu pun tak habis lagi.

"Saya bukan jenis pilih isu semata-mata untuk politik, saya suka (siasat) macam Detektif Conan. Saya rasa LCS akan terus kekal jadi isu yang besar sampai hari mengundi nanti,” katanya.