KLUANG - 33 keluarga di kampung orang asli Sungai Peroh, di sini, mengalami kerugian di antara RM5,000 hingga RM10,000 selepas tanaman kelapa sawit, getah dan pisang yang diusahakan mereka musnah dirosakkan oleh kumpulan gajah, baru-baru ini.
Kebun seluas antara dua hingga tiga ekar itu tinggal sisa serta pokok mati selepas kumpulan kira-kira 50 ekor gajah berkampung selama tiga hari di sekitar kawasan tersebut dan memakan sumber tanaman penduduk.
Penduduk, Liong Marlina,35, berkata, kebun miliknya seluas 2.5 ekar yang ditanam pokok kelapa sawit dan getah kini hanya tinggal pokok layu apabila semua pucuk muda tanamannya habis diragut kumpulan gajah berkenaan.
"Sekarang tak ada apa lagi yang tinggal kerana pokok kelapa sawit serta getah yang ditanam dua tahun lalu musnah semuanya dan kalau ada yang tinggal pun hanya beberapa batang sahaja.
"Sekarang ini kami bingung memikirkan cara untuk memulakan semula tanaman yang sudah dirosakkan ini kerana belum mendapat apa-apa pulangan modal dan duit simpanan yang ada sudah digunakan untuk membeli anak benih pokok sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia berharap ada pihak yang mengambil perhatian terhadap masalah dihadapi oleh masyarakat berkenaan.
"Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang agensi atau pihak bertanggungjawab yang datang untuk meninjau serta memahami kesukaran yang perlu dihadapi oleh mereka selepas kejadian serangan gajah liar itu," katanya.
Katanya, sebelum ini kebun penduduk di kawasan tersebut tidak pernah terlibat dengan ancaman gajah dan kejadian baru-baru ini merupakan kali pertama berlaku.
"Sebelum ini gajah hanya memasuki kawasan penempatan penduduk yang agak jauh dari kawasan kami," katanya.
Sementara itu, nelayan darat, Taris Atim, 46, berkata, pendpatannya terjejas apabila alat yang digunakan untuk menangkap ikan iaitu 'gombang' yang dipasang di Sungai Peroh habis rosak akibat dipijak kumpulan gajah berkenaan.
Katanya, jika mahu membaiki semula kerosakan itu dia terpaksa menggunakan modal yang agak tinggi dan kini hanya menggunakan bubu kecil untuk menangkap ikan.
"Banyak tempahan ikan air tawar terpaksa saya tolak kerana tidak lagi mempunyai sebarang alat untuk menangkap ikan.
"Jika berharap kepada bubu hanya ikan kecil dan udang yang mampu diperoleh," katanya.
Terdahulu, Harian metro melaporkan, seorang penduduk kampung itu, Azar Eja, 35, telah melihat kira-kira 50 gajah ketika dalam perjalanan ke kebun miliknya yang terletak berhampiran sungai di kawasan terbabit.
Bagi mengelak bertembung dengan kumpulan haiwan berkenaan, dia telah memanjat sebatang pokok dan dan duduk di atas dahan hampir jam bagi menyembunyikan diri.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi pada Sabtu lalu, dia sempat merakamkan video sebagai bukti kehadiran haiwan itu di kawasan kampung mereka.