SHAH ALAM – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta supaya mengarahkan siber sekuriti bank untuk mewajibkan kemas kini teknik sekuriti bank berhubung isu individu kehilangan wang dalam simpanan bank.
Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman yang juga Pengasas Elzar Group & Myclazz.com berkata, ini bagi mengelakkan pelanggan menjadi mangsa meskipun identitinya dicuri atau nombor telefon ditukar untuk kod pengesahan transaksi (TAC).
"RM163,000 duit penyimpan di bank lesap! Dah semakin menjadi-jadi kejayaan scammer menipu pengguna dan bank sekali gus. Habis wang pengguna bank dicuri.
"Namun apabila kelihatan dengan jelas pengeluaran dengan jumlah luar biasa atau jumlah biasa tetapi secara berturut-turut khususnya selepas baharu sahaja menukar nombor telefon TAC sepatutnya sistem bank beri ‘trigger’ (amaran).
"Ia juga perlu sekat selain menuntut pegawai bank menelefon pelanggan bagi mendapatkan kepastian sebagaimana apabila seseorang guna kad kredit secara dalam talian untuk pembelian baru.
"Macam ada kelompongan dalam sistem ‘DUITNOW’, selalunya scammer guna sistem ini untuk curi duit pengguna,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu.
Pada Isnin, media melaporkan beberapa individu termasuk seorang pakar perubatan kehilangan wang dari akaunnya dan mendakwa tidak menerima TAC membabitkan transaksi pemindahan wang.
Dalam pada itu, Zaharuddin menyarankan supaya pihak bank menggunakan sistem ‘Artificial Intelligence’ (Ai) untuk mengesan perkara sedemikian.
"Untung bank beratus juta dan bilion, bayarlah untuk keselamatan wang pengguna.
"Mesti banyak lagi cara yang boleh diberikan oleh ‘cyber security expert’ dan tolong segerakan sebelum lebih ramai yang menjadi mangsa.
"Pihak bank diminta mengambil tindakan terhadap keldai akaun selain kami mahu lihat publisiti media secara besar-besaran terhadap keldai akaun agar orang ramai tidak berani untuk menjadi keldai akaun,” jelasnya.