SERDANG - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Bajet 2023 yang berlangsung pada 7 Oktober ini.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh rakan-rakan di dalam anggota kabinet yang dipimpin Ismail Sabri.
"Yang biasa, bajet ini dibentangkan oleh Menteri Kewangan,” katanya semasa ucapan penggulungan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.
Sebelum ini, dilaporkan tarikh pembentangan Bajet 2023 akan diawalkan pada 7 Oktober ini berbanding jadual asal 28 Oktober.
Ismail Sabri kemudiannya berkata, pembentangan bajet yang diawalkan adalah satu perkara biasa dan ia pernah dilakukan pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh pada masa sama turut membangkitkan persoalan mengapa bajet yang sepatutnya dibentangkan pada penghujung bulan Oktober itu kini diawalkan.
"Biasanya dibentangkan pada penghujung bulan Oktober. Sekarang ini nak dibentangkan oleh Perdana Menteri yang turut diawalkan pada 7 Oktober. Cuba tanya kenapa buat begitu?,” katanya.
Jelas Muhyiddin, berkemungkinan selepas 7 Oktober itu, Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen.
"Kemungkinan selepas 7 Oktober bentang, tidak ada perbahasan bajet dalam Parlimen kerana esoknya Parlimen akan dibubarkan,” ujar beliau.