Liek Hou tekad rampas semula Kejohanan Dunia

Iklan
Liek Hou

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou kini fokus memburu pingat emas peribadi ke-12 pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo bermula 1 hingga 6 November depan selepas meraih gelaran ke-13 berturut-turut di peringkat antarabangsa.

Pemenang emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu mengakui menaruh harapan tinggi untuk merangkul semula gelaran juara dunia yang pernah diraihnya pada edisi 2017 di Ulsan, Korea Selatan, selepas kecundang di pentas separuh akhir pada edisi 2019 di Basel, Switzerland.

Iklan
Iklan

"Saya memang nak tebus semula kekalahan saya pada 2019 yang lalu, sekarang saya baru balik (dari) pertandingan di Thailand, jadi minggu ini merupakan minggu pemulihan, selain saya juga rehat untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

"Tapi minggu pertama September saya akan fokus semula latihan," katanya ketika ditemui di program Oyen's Day Out, Selamatkan Harimau Malaya di Zoo Negara pada Sabtu.

Iklan

Pada Kejohanan Dunia 2019, Liek Hou bukan sahaja terpaksa melepaskan penguasaan dalam acara perseorangan lelaki SU5 selepas tewas kepada Dheva Anrimusthi dari Indonesia, malah turut kehilangan kedudukan nombor satu dunia.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 35 tahun itu berkata beliau akan menumpukan kepada latihan yang mampu meningkatkan kekuatan fizikalnya menjelang aksi di Tokyo.

Iklan

Jelasnya, penyertaan dalam terlalu banyak kejohanan kebelakangan ini telah memberi kesan kepada tahap kekuatan fizikalnya.

Liek Hou, yang juga juara Sukan Para ASEAN ke-11 di Solo, Indonesia baru-baru ini, berkata jurulatihnya telah menyediakan program latihan terbaik buatnya untuk tempoh dua bulan mendatang.

"Untuk latihan ini juga saya akan berlatih dengan atlet profesional perseorangan yang lain dan saya rasa latihan bersama mereka sudah lebih mencukupi sebagai persediaan saya untuk ke kejohanan dunia ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata, program hari ini amat penting dalam memberi kesedaran kepada orang ramai untuk bersama-sama memelihara Harimau Malaya daripada kepupusan.

"CSR (program tanggungjawab sosial korporat) ini juga demi menyambut aspirasi MSN bersama atlet negara menjayakan kempen menyelamatkan Harimau Malaya, selain turut membawa maskot Oyen untuk memberitahu orang ramai bahawa Sukan Malaysia (Sukma) akan berlangsung dalam masa 20 hari lagi," katanya. - Bernama