Aaron-Wooi Yik perlu kekal fokus

Iklan
Aaron-Wool Yik meraikan kejayaan menewaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad.

BEREGU nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu mengekalkan fokus apabila berdepan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan, Tokyo, pada Ahad.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya juga tidak mahu menambahkan tekanan dengan memberikan arahan tertentu menjelang aksi berdepan pasangan ranking ketiga dunia dari Indonesia itu.

Iklan
Iklan

Beliau mahu membiarkan Aaron-Wooi Yik menumpukan perhatian sepenuhnya kepada aksi final itu seterusnya menghasilkan kejayaan.

"Kita tidak akan berikan mereka tekanan lagi, sebaliknya biarkan mereka kekal fokus atau benarkan mereka focus step by step menjelang aksi final.

Iklan

"Kita juga tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap mereka kerana dikhuatiri bakal mengganggu persiapan.

"Apa pun, diharapkan supaya mereka berdua dapat mengekalkan fokus dan mengurangkan kesilapan apabila beraksi di perlawanan akhir tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Iklan

Aaron-Wooi Yik sebelum itu menamatkan badi terkandas di separuh akhir apabila muncul beregu Malaysia pertama dalam tempoh 12 tahun mara ke perlawanan akhir edisi Tokyo 2022 tersebut.

Pada aksi separuh akhir di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan ranking keenam dunia menewaskan pasangan ketujuh dunia Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 20-22, 21-18, 21-16.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kemenangan ke atas beregu India itu dengan enam kemenangan berturut-turut sejak 2017.

Untuk rekod, ia merupakan penampilan keempat mereka di Kejohanan Dunia dengan pencapaian terbaik suku akhir pada edisi Nanjing 2018, China.

Sementara itu, Rexy menyifatkan kejayaan Aaron-Wooi Yik menangani tekanan menjadi faktor utama yang mendorong kemenangan ke atas Rankireddy-Shetty.

"Secara keseluruhannya, saya melihat kedua-dua beregu beraksi dengan penuh tekanan kali ini dan bagi saya, beregu mana yang berjaya menangani tekanan dengan baik akan dapat memberikan aksi terbaik serta memenangi perlawanan ini.

"Bagi beregu India, mereka harus menang untuk melangkah ke final, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama ke atas Aaron-Wooi Yik.

"Aaron-Wooi Yik turut trauma apabila beraksi di separuh akhir setelah mencatatkan beberapa rekod yang tidak menyebelahi mereka sebelum ini.

"Bagaimanapun, mereka telah membuktikan mereka mampu mencatatkan kejayaan di sebalik trauma berkenaan,” katanya.