Kisah kesetiaan MIC kepada BN

Iklan
Persaudaraan komponen politik antara UMNO-BN dan MIC memiliki sejarah tersendiri.

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dirasai meskipun Malaysia berterusan dilanda krisis bermula daripada pandemik kesihatan, ketidakstabilan politik dan ekonomi yang hampir melumpuhkan kemakmuran negara serta norma kelangsungan hidup rakyat jelata.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan walaupun berlaku variasi senario politik, misi mengadakan PRU15 tetap diangkat sebagai agenda terpenting.

Iklan
Iklan

Tampuk kepimpinan parti-parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang terus mendesak agar PRU15 segera diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut diberi ‘dorongan’ terutama daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO, disebabkan aliran trend positif parti Barisan Nasional (BN) dalam kalangan pengundi tempatan, sekali gus memastikan kemenangan besar parti komponen itu pada PRU15.

Iklan

Kemenangan tercipta pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor oleh UMNO-BN serta ketidak sehaluan dalam kolaboratif parti pembangkang menjelmakan harapan kepada UMNO untuk memberi tekanan mengadakan PRU15 tahun ini.

Seiring dengan spekulasi PRU15 itu, parti minoriti India, MIC telah menggerakkan sepenuhnya jentera pilihan raya bagi memberi sokongan padu kepada BN yang bersiap sedia menghadapi pesta demokrasi tersebut.

Iklan

Menurut Makkal Osai, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran baru-baru ini telah mengesyorkan untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen yang melibatkan bukan hanya kerusi tradisi MIC tetapi juga kawasan mempunyai peratusan tinggi parti itu menang pada PRU15.

Jelas Vigneswaran lagi, cadangan MIC itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

Namun, cadangan Presiden MIC itu telah menerima tohmahan hebat dan mencetuskan perdebatan dengan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mencabar kredibiliti parti MIC serta sokongan minoriti India pada PRU15.

Bagaimanapun, Vigneswaran yang membidas dakwaan Mohamed Nazri itu berkata, parti MIC tidak risau tohmahan seumpama itu kerana ia langsung tidak berasas.

Mohamed Nazri menyindir dan menyifatkan MIC sebagai pengemis yang meraih kemenangan pada PRU15 hanya atas ihsan sokongan UMNO.

Katanya, masyarakat India tidak akan memberi sokongan kepada MIC dan BN kerana mereka sudah hilang keyakinan hingga sanggup menyokong parti lain seperti Pakatan Harapan (PH).

Tetapi, Vigneswaran menyatakan sokongan pengundi India terhadap BN semakin kukuh dan ia telah dapat disaksikan pada PRN Melaka dan Johor apabila peratusan mengundi kaum India meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus.

Justeru, Vigneswaran menjelaskan beliau tidak mahu membazir masa dengan memberi respons kepada pandangan negatif Mohamed Nazri itu.

Kenyataan Mohamed Nazri bukan pendirian tampuk kepimpinan tertinggi UMNO dan BN yang menentukan segala-galanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan juga tampil menegaskan ‘tohmahan peribadi’ seperti itu tidak menjejaskan solidariti dan silaturahim antara UMNO-BN dan MIC.

Persaudaraan komponen politik antara UMNO-BN dan MIC memiliki sejarah tersendiri. Sebarang fitnah peribadi tentu sekali tidak dapat mencemarkan hubungan baik tersebut. Menjelang PRU15, lumrah berlaku adegan politik seumpama itu, jadi lebih baik pihak yang terlibat membiarkan sahaja.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy turut menyangkal kritikan negatif mengenai kredibiliti Presiden MIC dan parti tersebut.

Kata Ramasamy, keseluruhan ahli dan penyokong parti MIC sentiasa taat serta setia kepada tampuk kepimpinan UMNO-BN.

Realitinya, MIC agak sukar untuk meneruskan survival parti itu tanpa sokongan UMNO.

Namun, UMNO-BN yang berpegang kepada prinsip parti berlandaskan kepelbagaian perpaduan kaum amat memerlukan sokongan MIC untuk mendapat mandat rakyat Malaysia melalui kemenangan besar pada PRU15.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor