'Kasut berjenama serendah RM5 jadi rebutan'

Iklan
Pelbagai kasut berjenama dijual pada harga serendah RM5 menjadi rebutan di Program Jualan Bonet Kereta Merdeka.

PETALING JAYA - Pelbagai kasut berjenama dijual pada harga serendah RM5 menjadi rebutan di Program Jualan Bonet Kereta Merdeka anjuran Kumpulan Facebook Kenangan Di Asrama (KDA) Club House di Strand Mall di sini pada Sabtu.

Lebih menarik, program jualan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan itu turut disertai penyanyi terkenal era 1980-an, Zur Eda atau nama sebenarnya Zuraidah Mokhtar yang menjalankan perniagaan makanan dan kuih tradisional.

Iklan
Iklan

Selain kasut, pakaian dan makanan, pelbagai barangan lain termasuk pelbagai buku, minyak wangi dan barangan antik dijual di lebih 20 reurai dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 9 malam di ruang legar tertutup di pusat beli belah berkenaan.

Program ini turut disertai penyanyi terkenal era 1980-an, Zur Eda (kiri) atau nama sebenarnya Zuraidah Mokhtar.

Seorang pengunjung, Anita Mohamed Khaled, 30, berkata, dia sentiasa menunggu program seperti itu bagi membeli pakaian serta barangan wanita berjenama, terpakai dan baharu yang diimport namun dijual dengan harga lebih murah.

Iklan

"Walaupun sudah dipakai namun barang-barang seperti pakaian dan kasut ini masih elok malah ada yang masih belum digunakan dan dijual pada harga serendah RM5, ada kasut dari pereka luar negara yang dijual pada harga hanya RM35.

"Sekarang semua barang naik harga, jadi jualan seperti ini sangat dinantikan malah makanan dan minuman di sini lebih murah berbanding di restoran dan kedai makan," katanya ketika ditemui di pusat beli belah Strand Mall itu pada Sabtu.

Iklan
Peniaga dan pengunjung di Program Jualan Bonet Kereta Merdeka anjuran Kumpulan Facebook KDA Club House di Strand Mall di sini pada Sabtu.

Program Jualan Bonet Kereta anjuran Kumpulan Facebook KDA Club House ini diadakan sekali sebulan bermula bulan lalu dan kali kedua sempena Bulan Kebangsaan ini dan penganjur berhasrat menjadikannya sebagai acara bulanan.

Sementara itu seorang lagi pengunjung Mohd Faizal Azuan, 36, berkata, konsep perniagaan atau program jualan bonet kereta ini mempunyai ramai peminat dan sudah menjadi kebiasaan diadakan di beberapa tempat termasuk di Central Market.

"Kalau dulu, untuk beli barang 'prelove' atau terpakai ini hanya di kedai bundle tetapi kini boleh mendapatkannya di program seperti ini dan bezanya barang di jualan bonet kereta lebih eksklusif kerana ia adalah koleksi peribadi peniaga itu sendiri," katanya.

Sementara itu, pengasas Kumpulan Facebook KDA Club House juga merangkap penganjur program, Mohd Zaim Al-Amin Kamaruddin, 55, berkata, kumpulan berkenaan ditubuhkan di laman sosial Facebook pada 6 November 2021 dan kini mempunyai kira-kira 1200 ahli.

Mohd Zaim Al-Amin Kamaruddin

Menurutnya, sebelum ini pelbagai aktiviti dianjurkan namun ia diadakan secara tertutup dalam kalangan ahli sebelum dijalankan secara terbuka di tempat awam menerusi siri Program Jualan Bonet Kereta Kumpulan Facebook KDA Club House.

"Program ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ahli dari segi hubungan dan pendapatan tetapi kita juga dapat mempromosikan pusat beli belah ini kepada pengunjung terutama yang tinggal dari luar kawasan ini.

"Kita berhasrat meneruskan program ini dengan konsep yang pelbagai mengikut tema dan mungkin akan ada tema lain selepas kita berjaya mengadakan Program Jualan Bonet Kereta Merdeka sempena Bulan Kebangsaan pada hari ini," katanya.