MENYUSUN strategi dan inisiatif, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cuba berinovasi dalam menyampaikan mesej-mesej budaya tinggi kepada masyarakat.
Cetusan ideanya adalah demi memastikan program seni dapat dicapai dan dihayati serta menjadi realiti kepada semua lapisan komuniti.
Gabungan jemaah kreatif di Pusat Kebudayaan USIM telah menghasilkan program maya yang dikenali sebagai ‘sembang bukan gebang’.
Mengapa ‘sembang bukan gebang’? Secara umumnya, apabila masyarakat berbicara soal seni budaya yang kelihatan adalah persoalan remeh, tidak penting, gebang kosong dan tidak ada membawa apa-apa perubahan yang menyumbang kepada peningkatan sosiobudaya kepada komuniti sasaran dan masyarakat.
Setelah beberapa sesi diskusi maya, Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) memberikan tajuk yang unik ini bagi mencerminkan betapa serius persoalan sembang bukan sekadar bergebang yang agak sinonim dengan kelompok masyarakat di Malaysia. Dari situ bermulanya 15 episod Sembang Bukan Gebang (SBG).
SBG ialah program bual bicara yang spontan, santai dan bebas disulami dengan pelbagai topik perbincangan dan perkongsian pengalaman, maklumat dan kepakaran yang memberi manfaat kepada komuniti budaya.
Bersiaran setiap minggu pada hari Ahad pada jam 11 pagi. Berdurasi 90 minit, namun dengan konsep santai berinformatif, selalunya kepetahan moderator dan kebitaraan panel jemputan sering membawa SBG menyusur ke waktu tambahan.
Program ini dirakamkan di studio Pusat Kebudayaan USIM dan menggunakan sepenuhnya aplikasi terkini dengan warna tema seperti merah, putih dan hitam dan disiarkan secara langsung di Facebook Page Pusat Kebudayaan USIM.
SBG menyediakan ruang kepada moderator dan panel jemputan pada setiap minggu membincangkan tajuk yang dipilih tanpa sempadan dan birokrasi hal-hal berkaitan seni budaya.
Keunikan SBG bermula daripada barisan moderator dan panel jemputan yang menggabungkan konsep 3P iaitu: (i) pentadbir seni, (ii) penggiat seni dan (iii) pengkaji seni. SBG menjemput tokoh dan individu yang pakar dalam bidang seni budaya dan komited dalam hala tuju seni budaya negara.
Percambahan idea dan perkongsian maklumat seni budaya secara maya oleh barisan panel jemputan telah melahirkan satu anjakan baharu dalam penyampaian berkaitan hal-hal seni budaya kepada masyarakat.
Sebagai rekod pencapaian, SBG telah dijalankan dua musim dengan jumlah 15 episod bercatatan 2094 minit siaran, 53 panel jemputan melibatkan 13 pentadbir seni, 31 penggiat seni dan sembilan pengkaji seni selain merekodkan 1,431 perkongsian dan mencatatkan jumlah audiens sebanyak 47,224 yang hadir secara maya.
Sebagai wacana yang membicarakan persoalan seni budaya, pencapaian ini amat membanggakan kerana bukan mudah mengajak audiens untuk menonton panel bersembang secara maya, sesuai dengan tagline; ‘Sembang Bukan Gebang, Kita Bincang Sampai Terang’.
Tidak hanya bernoktah selepas SBG melabuhkan tirai siaran, jemaah kreatif Pusat Kebudayaan USIM berhasrat mencatat satu lagi inovasi baharu dengan memindahkan kandungan bual bicara maya kepada naskhah penulisan.
Bagi merealisasikan impian ini, Pusat Kebudayaan USIM mengadakan kerjasama dengan entiti budaya yang mempunyai autoriti berkaitan hal seni budaya di Malaysia.
Menerusi beberapa siri perbincangan konstruktif dengan sumbang saran dan idea, termeterai kerjasama Pusat Kebudayaan USIM dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertindak sebagai rakan pendanaan penerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang. Sokongan JKKN hadir tepat pada waktunya. Ini adalah langkah strategik melalui satu pakatan bestari yang cemerlang.
Penerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang adalah kerja kreatif yang julung kali dan pertama di Malaysia membawa kandungan bual bicara maya ke dalam naskhah tulisan.
Monograf budaya menghimpunkan 16 artikel hasil gabungan kebitaraan 17 penulis (3P) dalam sebuah monograf setebal lebih kurang 304 muka surat. Naskhah ini menggabungkan 15 episod SBG dan satu artikel daripada program bual bicara Borak Rakyat yang juga terbitan Pusat Kebudayaan USIM.
Penerbitan ini mengorak peluang baharu kepada komuniti seni dan budaya serta masyarakat dalam mengamati dan menghayati kandungan seni budaya bernilai tinggi. Pelbagai topik seni budaya dikupas dalam ditulis secara ilmiah mencakupi budaya tinggi seperti seni masakan tradisi Melayu, sejarah, kepahlawanan Hang Tuah, muzik tradisional Melayu, pengurusan seni, teater dan filem Malaysia, busana tradisi, syair warisan, lagu puisi, terapi seni, survival orang seni sehinggalah kepada intensiti syiar Islam dalam seni budaya Melayu.
Kumpulan penulis hebat yang menyumbang kepakaran dalam penulisan artikel ialah pengkaji seni seperti Awang Sariyan, Supyan Husin, Azam Dungun, Azizah Abdullah, Rosminah Tahir, Kamarulzaman Mohamed Karim, Indirawati Zahid selain pentadbir seni profesional tanah air seperti Ismail Ahmed, Zulkifli Ab Rashid, Ezlina Alias, Hazelina Ghazaly dan Zaiton Hasan.
Gabungan penggiat seni mampan turut menyumbang penulisan artikel seperti Cef Fikree Aznan, Siso Kopratasa, Ramlee Wahab, selain penulis generasi muda iaitu Wanza Mohamad dan Hasif Idris yang merupakan alumni USIM.
* Ismail Ahmed (A.M.N) merupakan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM selain Ketua Editor & Pengarah Projek Penerbitan Produksi Maya dan Penerbitan Buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang 2022